Berita Terkini| Bayaran BPR Fasa 2 bermula 7 Mei - Menteri Kewangan! Kepada 8.4 juta penerima
Published byPEMBAYARAN Fasa 2 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan diagih kepada 8.4 juta penerima secara berperingkat-peringkat bermula Jumaat, 7 Mei 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku
Abdul Aziz berkata, pembayaran membabitkan peruntukan RM2.75 bilion itu akan
dibuat secara berperingkat-peringkat bagi membantu kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.
Katanya, fasa 2 BPR akan memberi manfaat kepada 3.6
juta isi rumah, satu juta warga emas dan 3.8 juta individu bujang.
“BPR adalah inisiatif bantuan langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, bagi memanfaatkan golongan B40 dengan Fasa 1
pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima
dari 24 Februari sehingga 1 April 2021.
"Fasa 2 BPR pula akan menyusul bagi memanfaatkan
jumlah penerima yang sama. Namun berlaku peningkatan peruntukan berikutan penambahbaikan
kadar bayaran kepada penerima.
"Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah
menerima RM300 dan individu bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada
penerima adalah di antara RM150 hingga RM600 berdasarkan kelayakan setiap
penerima.
"Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai
7 Mei 2021 melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my," katanya dalam satu
kenyataan di Kuala Lumpur pada Selasa, 4 Mei 2021.
Tambahnya, isi rumah, warga emas dan individu bujang
akan menerima bayaran yang terus dikreditkan ke akaun bank bermula 7 hingga 12
Mei 2021 ini, manakala penerima tidak mempunyai akaun bank, boleh ambil bayaran
melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 17 Mei 2021.
“Bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka
yang layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021,
memberikan peluang kepada rakyat mengemukakan rayuan berserta dokumen yang
berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” ujarnya.
Beliau berkata, mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR, jumlah bantuan kewangan yang sudah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion.
Katanya, kerajaan juga sebelum ini sudah membayar
Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40
bermula 21 Januari 2021.
"Oleh itu, sehingga Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi BPN 2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2 bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion," katanya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter