Gajah liar rosakkan tanaman, harta benda penduduk di Kota Tinggi! ADUN turun tenangkan rakyat
Published byGAJAH merupakan hidupan liar yang hidup dalam habitat semula jadi, khususnya hutan. Namun ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memusnahkan habitat mereka hingga menyebabkan gajah terpaksa mencari habitat baharu di tempat baharu.
Baru-baru ini di kawasan Desa Makmur, Kota Tinggi, Johor gempar dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang memasuki kawasan penduduk.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Tenggara, mereka dapat mengenal pasti terdapat sekumpulan gajah yang disyaki telah terpisah laluan. Ia dilakukan melalui pengesanan pergerakan gajah yang sedia ada.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan gajah:
https://kitareporters.com/search?search=gajah
Gajah liar ceroboh kawasan tanaman! Pengusaha rugi RM50,000! Rayu Perhilitan tolong tangkap!
Memandang serius akan peristiwa itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Panti, Hahasrin Hashim tampil membantu penduduk setempat yang menjadi mangsa serangan gajah-gajah liar berkenaan.
"Sebanyak 4 buah rumah penduduk telah mengalami kerosakan pagar dan tumbuhan. Selain itu, didapati 2 buah kawasan kebun iaitu tanaman pisang, kelapa dan kelapa sawit turut terkesan," katanya melalui hantaran dalam Facebook miliknya pada 4 Mac 2021.
Hahasrin turut memaklumkan kepada semua penduduk bahawa Jabatan Perhilitan Daerah sentiasa membuat kerja menghalau gajah-gajah liar berkenaan ke laluan atau kawasan yang sepatutnya secara berkala.
"Jabatan Perhilitan Daerah juga sentiasa membuat kerja halau gajah ke kawasan sepatutnya. Oleh itu, kerjasama penduduk terutama pasukan sukarela belia amat penting bagi membantu Jabatan Perhilitan Daerah.
"Keadaan masih dalam keadaan terawal. Adalah dinasihatkan juga kepada penduduk Desa Makmur agar sentiasa berhati-hati terutama pada waktu petang dan malam," pesannya lagi.
Kawasan sekitar Kota Tinggi memiliki sekumpulan besar gajah liar yang masih hidup dalam keadaan bebas dan berada pada habitatnya sendiri.
Ini mendorong pihak kerajaan untuk membina sebuah pembangunan khusus untuk dijadikan pusat perlindungan hidupan liar berkenaan agar tidak pupus ditelan zaman.
"Sepertimana jawapan YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar menerusi Persidangan Dewan Negeri Johor pada November 2020, projek pembangunan Johor Elephant Sanctuary (JES) (Kawasan Perlindungan Gajah Johor), Kota Tinggi berada dalam Fasa 2 pada tahun 2021.
"Oleh sebab keadaan tidak menentu, saya amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menyegerakan pembinaan sekali gus membolehkan gajah-gajah ditempatkan di JES dalam tempoh terdekat," katanya.
Hahasrin turut hadir sendiri menyaksikan keadaan kerosakan yang dialami penduduk akibat serangan gajah-gajah berkenaan.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Mohd Fadzlan Mohd Zin, Penghulu Mukim Ulu Sungai Johor; wakil Jabatan Perhilitan Daerah, wakil Jabatan Perhutanan Daerah; serta Juffri Juraimee, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Tenggara. - KitaReporters