Video| Ini baru ustaz moden! Ustaz Nik Azizan! Siang guru ngaji! Malam influencer baca al-Quran!
Published byBERGELAR guru mengaji pada siang hari, ustaz ini bertukar menjadi seorang ‘influencer’ (pempengaruh) pada waktu malam menerusi penstriman langsung yang menarik ratusan penonton setiap hari!
Dunia tanpa sempadan hari ini menyaksikan perkembangan video secara langsung (live) tanpa henti dalam internet.
Daripada nyanyian dan tarian sehinggalah ke penjelajahan dunia maya, menerokai aneka makanan melazatkan atau hanya sekadar merenung kosong sahaja, pelbagai jenis strim langsung yang wujud melangkaui pemikiran kita.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penstriman
USTAZ NIK AZIZAN
Baru-baru ini, seorang guru mengaji al-Quran bernama Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar (Bigo ID: UstazNikAzizan) mencuri perhatian di dunia digital dengan cara pemakaiannya yang moden dan cukup bergaya. Oleh itu, Bigo Live Malaysia mengambil peluang ini untuk menemu bualnya.
Lahir dalam keluarga pendidik, ayah Ustaz Nik Azizan merupakan seorang jurulatih kebangsaan dan antarabangsa untuk qari dan qariah negara. Walaupun mungkin kelihatan tegas dalam tugas hariannya sebagai seorang guru agama, beliau berubah menjadi seorang pengajar moden pada waktu malam.
Beliau berkongsi cara bacaan Al-Quran secara maya dan telah berjaya mengumpulkan seramai 40 ribu orang pengikut dalam akaun Bigo Live beliau. Lebih menarik lagi, pengikutnya terdiri dari pelbagai negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Maldives, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Setiap malam saya akan bersiaran langsung selepas jam 10 malam. Saya akan menjawab soalan-soalan dan memperbetulkan bacaan Al-Quran dalam kalangan penonton yang melapisi pelbagai peringkat umur,” ujarnya dalam satu kenyataan meia Bigo Live Malaysia.
Penstriman langsung Ustaz Nik Azizan ternyata menampilkan kelainan pada kala dunia penyiaran dipenuhi dengan kandungan hiburan.
“Apabila saya menyuruh kawan-kawan saya untuk muat turun Bigo Live dan menonton strim langsung saya, mereka terkejut kerana tidak tahu aplikasi ini turut memuatkan kandungan pengajian Al-Quran,” kongsinya lagi.
Menerusi video temu bual itu, kita dapat menyaksikan bagaimana Ustaz Nik Azizan mendekatkan jarak dengan bantuan internet. Beliau berkongsi ilmu dengan penuh teliti serta turut mengambil pendekatan kreatif dengan menukar latar belakang untuk menjadikan kelas ajarannya lebih menarik dan interaktif.
“Menerusi Bigo Live, saya boleh melihat ekspresi muka pelajar sewaktu mereka membaca Al-Quran dan membetulkan kesalahan mereka,” tambahnya.
Ustaz yang berusia 46 tahun ini menemukan Bigo Live secara tidak sengaja pada tahun 2016.
“Pada waktu itu saya mencari sebuah aplikasi untuk berinteraksi dengan pelajar saya secara pantas dan santai, serta boleh berhubung dengan mereka dari seluruh pelosok dunia,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Peranti yang digunakannya pula tidak kurang lengkap seperti penstrim langsung profesional yang lain. Selain daripada kamera dan tripod, beliau juga mempunyai sistem pengadun bunyi, mikrofon ‘condenser’, dan lampu LED.
Selepas video temu bual bersamanya dilancarkan, ia menerima jumlah tontonan yang agak tinggi. Hanya dalam masa 10 hari selepas video tersebut dimuat naik di laman Facebook Big Live Malaysia, ia menerima 200 ribu tontonan dan terus meningkat, menurut kenyataan media itu lagi. - KitaReporters