Video| Terbaiklah Cikgu Roslan! Gigih ajar Matematik! Guna Google Meet, YouTube masa Covid-19!
Published byCikgu Roslan Kamaruddin berpengalaman lebih 34 tahun mengajar subjek Matematik.
BERASA amat berpuas hati dan seronok dapat meneruskan tanggungjawab sebagai guru Mtemendidik pelajar di seluruh negara menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan aplikasi Google Meet berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang.
Guru Cemerlang Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman (SMKS), Bentong, Pahang, Roslan Kamaruddin, berkata dia mengambil inisiatif itu sebagai membantu pelajar yang terkesan dengan Covid-19 untuk memanfaatkan masa terluang mendalami ilmu dalam subjek Matematik secara percuma.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan cikgu
Cikgu Roslan sedang bersiap sedia untuk bersiaran bersama-sama pelajar menerusi aplikasi Google Meet di rumahnya di Bentong, Pahang.
Menurutnya, walaupun setiap sekolah sudah
menyiapkan jadual PdPR untuk pelajar masing-masing sepanjang PKP, namun tiada
masalah bagi mereka mengikuti pengajaran beliau menerusi Google Meet
bersama-sama pelajar dari SMKS yang diadakan dua kali seminggu.
Beliau menjelaskan, ketika bersiaran secara Google Meet itu rakan dia yang juga seorang guru akan membuat rakaman PdPR berkenaan kemudian disalurkan ke dalam YouTube untuk dikongsikan dengan pelajar seluruh negara supaya turut mendapat manfaat khusus bagi memahami topik subjek Matematik yang dipelajari.
Katanya, dengan cara itu juga dia dapat berkongsi ilmu dengan guru-guru mata pelajaran berkenaan dari sekolah lain yang secara tidak langsung turut berganding bahu bagi menanamkan semangat menyukai subjek Matematik dalam kalangan pelajar.
Selepas bersiaran menerusi Google Meet bahan perbincangan itu dirakam untuk disalurkan pula dalam YouTube bagi dimanfaatkan pelajar di seluruh negara.
“Saya mengakui ramai guru cemerlang subjek ini berada di seluruh pelosok tanah air yang turut mengambil langkah sama bagi meneruskan bimbingan kepada pelajar mereka secara PdPR dan lebih bermanfaat jika ilmu subjek Matematik itu dapat dikongsikan.
“PdPR yang disalurkan dalam YouTube ini, saya memfokuskan perbincangan berkaitan kaedah memahami dan mentafsir soalan serta menyelesaikan dengan cara senang di samping memberi tip-tip mudah mengatasi masalah yang diberikan,” katanya yang mula menyalurkan maklumat pengajaran dalam talian sejak awal Julai 2021.
Cikgu Roslan yang berpengalaman lebih 34 tahun mengajar subjek Matematik sering menjadi penceramah jemputan dalam Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan pelbagai pihak di seluruh negara secara bersemuka sebelum muncul pandemik Covid-19.
Bagaimanapun selepas pelaksanaan PdPR berikutan PKP pandemik Covid-19 beliau masih dijemput untuk menyampaikan ceramah menerusi aplikasi Google Meet oleh beberapa sekolah sekitar Lembah Kelang dan Pantai Timur.
Sebagai guru yang berpengalaman Cikgu Roslan akan memastikan bahan subjek Matematik yang dibincangkan itu bermanfaat untuk pelajar membuat persediaan menduduki SPM nanti.
Beliau berkata, topik yang dibincangkan adalah untuk pelajar yang berada dalam Tingkatan Empat dan Lima dengan menggunakan aplikasi Powerpoint kerana mudah untuk pelajar memahami setiap formula pengiraan yang ditunjukkan.
Menurutnya, bahan yang digunakan adalah daripada pengubahsuaian soalan daripada buku rujukan yang amat membantu pelajar meningkatkan kefahaman menjawab soalan subjek Matematik dan apabila disalurkan dalam YouTube mereka boleh menyebarkan melalui WhatsApp atau Telegram kepada rakan-rakan untuk dikongsikan
“Sejak tersebar dalam YouTube dia mendapat pelbagai komen yang membina daripada pelajar serta ibu bapa yang turut menyarankan supaya bimbingan itu dapat diteruskan sehingga anak mereka menduduki peperiksaan SPM nanti.
“Saya amat berpuas hati serta berasa seronok apabila bimbingan yang diberikan secara Google Meet serta YouTube ini membantu pelajar memahami soalan serta kaedah penyelesaian bagi memperoleh jawapan yang tepat. Saya juga akan membuat penambahbaikan setiap masa bahan dibincangkan bersama-sama pelajar ini,” katanya. - KitaReporters
Memberi perhatian kepada persoalan yang dikemukakan pelajar dalam perbincangan menerusi Google Meet.