Kerana minat: Dari pekerja balak jadi penempa besi! Bimbang seni tempa besi, senjata berkubur!
Published byNorman Harun sedang mencanai salah satu bilah parang yang dihasilkannya sebelum melakukan proses menyepuh.
Norman mengetuk besi yang masih panas untuk membentuk bilah parang yang ditempah oleh pelanggannya.
MINAT terhadap kesenian persenjataan Melayu serta kebimbangan tradisi menempa besi dalam kalangan masyarakat Melayu akan berkubur menjadi pendorong seorang bekas pekerja balak di Pekan Ayer Panas, Labis mempelajari teknik menempa besi bagi menghasilkan bilah parang bermutu.
Mengimbau kembali pembabitan awal sebagai tukang besi, Norman Haron, 48, berkata, proses belajar menempa besi dari beberapa tukang besi 16 tahun lalu tidak mudah dan memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.
"Selain terpaksa meninggalkan
keluarga berhari-hari lamanya untuk belajar menempa besi di luar daerah, dia
terpaksa mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk membeli peralatan menempa
besi sebelum boleh menghasilkan bilah parang.
"Proses menghasilkan bilah parang tidak sekadar membakar dan mengetuk besi sahaja, malah perlu menguasai ilmu menyepuh iaitu satu proses mengeraskan besi yang dibakar serta mengenal jenis besi yang sesuai dijadikan parang," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan besi
Besi yang telah ditempa dan dibentuk menjadi bilah parang perlu dipanaskan untuk proses menyepuh bagi mengeraskan besi agar tajam dan tahan lasak.
Katanya, mungkin ramai yang mampu membentuk besi menjadi bilah parang, namun tidak ramai yang mampu menguasai kemahiran menyepuh besi yang merupakan proses terpenting untuk menghasilkan bilah parang bermutu.
Menurutnya, dia sendiri memerlukan masa yang agak lama untuk mahir menyepuh besi kerana proses tersebut tidak boleh dipelajari secara teori semata-mata, malah memerlukan percubaan berulang kali sebelum mahir.
Tambah bapa kepada tiga orang anak berusia 16 hingga 20 tahun itu, selain membuat bilah parang dia turut menerima tempahan bilah keris, hulu serta sarung parang dan keris.
Tambahnya lagi, selain mampu menjana pendapatan, usahanya itu mampu membantu penduduk setempat mendapatkan bilah parang dengan lebih mudah berikutan tiada tukang besi di kawasan tersebut.
Bilah parang yang dibakar sehingga mencecah kepanasan 1,300 darjah celcius dicelup ke dalam air atau minyak ketika proses menyepuh yang akan menentukan tahap kelasakan parang yang dihasilkan.
"Saya menempa besi hanya pada
waktu petang atau ketika tidak menoreh getah sahaja dan mampu menghasilkan
sekitar 10 hingga 20 bilah parang sebulan bergantung kepada saiz.
"Setakat ini pelanggan saya hanya mereka di sekitar daerah Segamat dan daerah berhampiran seperti Muar dan Batu Pahat kerana saya tidak mampu menghasilkan bilah parang dalam jumlah yang banyak berikutan kekangan masa setrta masih kekurangan peralatan," katanya.
Menurutnya, proses menghasilkan bilah parang bermula dengan pemilihan besi yang sesuai seperti besi spring lori atau bergantung kepada permintaan pelanggan sebelum kerja-kerja membakar dan membentuk dengan cara mengetuk ketika besi sedang panas.
Katanya, selepas mendapat bentuk asas, besi tersebut perlu disejukkan sebelum dicanai bagi membentuknya menjadi bilah parang yang dikehendaki sebelum dibakar sekali lagi untuk proses menyepuh.
Norman meneliti bilah parang yang ditempanya bagi memastikan tiada kecacatan dan memenuhi kehendak pelanggannya.
Norman sedang membakar besi untuk ditempa menjadi bilah parang yang ditempah oleh pelanggannya.
"Menyepuh adalah proses
mencelupkan besi yang sedang panas ke dalam minyak atau air bagi mengeraskan
bilah parang dan perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan besi patah atau
bengkok.
"Proses ini memerlukan kemahiran kerana kadar kepanasan besi ketika dicelup memainkan peranan sama ada bilah parang yang dihasilkan tajam dan tahan lasak atau sebaliknya. Jika suhu terlalu tinggi parang akan mudah patah sementara tidak cukup panas mata parang tidak tajam dan mudah tumpul," katanya.- KitaReporters
Norman menunjukkan beberapa bilah parang yang dihasilkannya.