OKTOBER 2019 lalu, Marvel mengumumkan sekumpulan adiwira baharu yang akan muncul dalam permainan video dalam talian, Marvel Future Fight. Kumpulan itu yang dikenali sebagai Warriors Of The Sky dianggotai oleh empat adiwira yang berasal dari Asia, iaitu Blue Dragon (Vietnam), Shadow Shell (Taiwan), War Tiger (Thailand) dan Sun Bird (Malaysia). : KitaReporters.com

Empat ahli Warriors Of The Sky: (dari kiri) War Tiger; Blue Dragon, Shadow Shell dan Sun Bird.  - Gambar Marvel.com


Setelah dua bulan menunggu, peminat Marvel Future Fight kini sudah boleh menggunakan watak-watak ini apabila kemas kini terbaharu permainan itu boleh dimuat turun bermula 2 Januari 2020 lalu.

Pastilah di Malaysia, watak Sun Bird atau Burung Matahari paling ditunggu-tunggu.

Walaupun dikritik kerana penampilannya yang tidak menggambarkan ‘wajah’ Melayu dengan rambut lurus panjang berwarna merah, Marvel ada penjelasannya yang tersendiri.

Dalam sebuah temu bual bersama portal Marvel.com, Pengarah Penerbitan Marvel Games, Danny Koo berkata, penampilan Sun Bird yang kebaratan adalah kerana pengaruh penjajahan Portugis di Tanah Melayu pada abad ke-17.

SUN BIRD digambarkan sebagai seorang lanun yang hidup di Tanah Melayu pada abad ke-17.


Ia bertepatan dengan maklumat latar belakang Sun Bird dalam permainan itu yang menjelaskan, Sun Bird adalah seorang lanun yang hidup di Tanah Melayu pada abad ke-17.

Sun Bird kemudian dihidupkan semula untuk menjadi penjaga Kuil Bulan dari arah selatan dan memperoleh kuasa istimewa melalui dua keris berapi yang menjadi senjatanya.

Menurut Danny lagi, keempat-empat pahlawan Warriors Of The Sky diilhamkan dari mitos empat haiwan legenda yang terdapat dalam buruj Cina, iaitu Naga Lazuardi (Azure Dragon); Burung Vermilion (Vermilion Bird); Harimau Putih (White Tiger) dan Kura-Kura Hitam (Black Tortoise).

EMPAT simbol dalam buruj Cina yang diwakili empat haiwan legenda.


Menurut mitos itu, keempat-empat haiwan menjadi penjaga kepada empat arah, iaitu Timur, Selatan, Barat dan Utara.

Selain Warriors Of The Sky, Marvel Games telah mencipta beberapa watak khas untuk permainan Marvel Future Fight. Antaranya adalah Captain America (Sharon Rogers), Crescent dan Luna Snow.

Adakah watak-watak ini akan membuat kemunculan istimewa dalam mana-mana filem Marvel yang akan datang?

Jika watak Sun Bird akan ditampilkan dalam filem nanti dan Marvel mahu ia dibawakan oleh pelakon Malaysia, siapa yang anda rasakan sesuai? - KitaReporters.com



2
18
2
1
1

Copy Link: