16 tahun bergelar bidan! Bantu pasangan dapat zuriat! Tak semua masalah isteri! Tetapi suami mandul!
Published byMula menceburi bidang perbidanan tradisional pada tahun 2007, kini Siti Khotijah Hamid, 54, sudah bertemu dan menolong ramai pasangan suami isteri yang sukar mendapat zuriat.
Benar, ajal jodoh dan rezeki itu pada tangan Allah
SWT. Namun, kita sebagai hamba digalakkan mencuba dan berikhtiar. Selebihnya kita
serahkan kepada Yang Maha Kuasa.
Menurut ibu kepada dua orang anak dan seorang cucu ini,
penglibatannya dalam bidang perbidanan bermula sejak turun-temurun. Berasal dari Kedah dan menetap di Terengganu,
minatnya dalam bidang tersebut tidak boleh dielakkan lagi.
“Bermula dengan minat dan menyambung warisan ibu dan
tok-tok saudara semua menjadi bidan tradisional sejak dari dulu lagi. Dalam
masa yang sama juga ingin membantu kawan-kawan yang ada masalah sakit tubuh
berkaitan urut dan badan banyak angin dan masalah peranakan, migrain dan
sebagainya.
“Kali pertama melihat pelanggan berpuas hati dan berjaya pulih, membuatkan saya lebih bersemangat untuk menabur bakti. Pengalaman hari demi hari dan bertemu dengan pelbagai masalah pelanggan, membuatkan saya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan saya,” ujarnya.
Bersama anak dan cucu.
Tiada pekerjaan di dunia yang tiada cabaran dan
dugaan. Pengalaman selama 16 tahun mematangkan Siti Khotijah dalam berdepan
semua itu apatah lagi mendapat sokongan suami yang merupakan bekas pensyarah di
sebuah universiti di Terengganu.
“Mental dan fizikal kena kuat. Pelanggan pelbagai
ragam dan jenis. Ada yang kena strok dan secara tak langsung ia merumitkan untuk
melakukan urutan kerana mereka tidak boleh baring dan duduk seperti pelanggan
biasa.
"Cara urutan juga agak berbeza. Pesakit strok ini
kebanyakan duduk atas katil jadi kedudukan saya ketika mengurut agak sukar. Adakalanya
saya terpaksa naik ke atas katil pesakit tersebut.
"Selain itu ada pelanggan tetap yang memerlukan khidmat urut tengah-tengah malam kerana mereka tidak mampu menahan sakit. Sekiranya kalau dapat panggilan kecemasan seperti itu, mahu tak mahu saya kena terima kerana itu sudah tugas dan tanggungjawab saya," katanya.
Menggunakan bahan-bahan alami untuk menghasilkan minyak urut.
Menurutnya lagi, paling tidak boleh dilupakannya ialah ketika pulang dari mengurut, air banjir tiba-tiba naik mendadak sehingga menyebabkan dia terkandas.
"Disebabkan itu, saya terpaksa tidur di dalam kereta hingga pagi dengan hati yang tidak tenteram,” ceritanya.
Dalam pada itu, kes seorang pempengaruh media sosial yang tular
gara-gara memberi alasan berkahwin dua kerana isteri pertama tidak mampu
memberi zuriat membuatkan masyarakat marah.
Kes tersebut sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada Siti Khotijah atau lebih mesra disapa Kak Ketty.
Menurutnya, isteri sering dipersalah apabila sukar mendapat zuriat sedangkan ramai juga suami yang mandul namun mereka enggan berjumpa doktor kerana tidak mahu ego tercalar.
“Sepanjang pengalaman saya buat urutan ikhtiar zuriat ini, ada berbagai-bagai kes yang dihadapi.
"Apabila pelanggan datang buat urutan ikhtiar zuriat, saya akan pastikan dulu apa masalah bahagia perut. Biasanya saya akan betulkan peranakan dan rawat kalau ada masalah peranakan bengkak atau banyak angin.
Pernah tidur di dalam kereta ketika pulang dari berurut kerana tersangkut dalam banjir.
"Urutan buang angin akan dilakukan terlebih dahulu.
Sebelum buat urutan saya akan tanya dahulu mengenai kitaran haid mereka. Ada
pelanggan tidak datang bulan setiap bulan dan ada yang datang secara
berpanjangan. Jadi, akan urut secara tradisional bagi membetul dan menghentikan
darah haid yang berpanjangan.
"Ramai juga pelanggan yang datang untuk berurut ikhtiar
zuriat dan akhirnya masalah berpunca daripada suami. Ada kes di mana selepas
berurut ikhtiar zuriat dengan saya, masalah haid dan peranakan kembali sihat
tetapi tidak juga dikurniakan anak.
"Justeru saya nasihatkan pada pasangan tersebut untuk mendapatkan rawatan di hospital. Akhirnya setelah diperiksa, rupa-rupanya si suami yang mandul,” katanya yang menerima pelanggan dari pelbagai latar belakang termasuk golongan VIP dan doktor. - KitaReporters
Minyak urut yang dihasilkan sendiri oleh Kak Ketty.