Perkasakan amalan kitar semula! MoU SWM Environment, PDG Property! Bangunkan fasiliti KitaRecycle!
Published byMohd Norlisam Mohd Nordin (kanan) dan Gwee Yew Kiat menunjukkan MoU yang dimeterai antara SWM Environment dan PDG Property.
SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pemaju perumahan, PDG Property Sdn Bhd. (PDG Property) bagi memperkasakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di bawah Program KitaRecycle SWM Environment.
Kerjasama ini merangkumi pembangunan fasiliti “drop off collection (DOC)” KitaRecycle, promosi tatacara dan pengurusan sisa pepejal melalui pengasingan sisa di punca, serta penerapan konsep 3R (Reuse - Guna Semula, Reduce - Kurangkan, dan Recycle - Kitar Semula).
Selain itu, aktiviti CEPA (Communication, Education and Public Awareness atau Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam) turut diperkenal kepada penghuni i-Asrama @ Ayer Keroh, Melaka bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan amalan kitar semula.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, program kerjasama seumpama ini merupakan yang pertama di Melaka melibatkan komuniti penghuni i-Asrama @ Ayer Keroh, Melaka di bawah pengurusan PDG Property.
“PDG Property telah menyediakan tapak DOC yang sesuai untuk pembangunan dua buah fasiliti pusat penghantaran barangan kitar semula secara “drop off” menggunakan aplikasi KitaRecycle SWM Environment.
Kami amat berbesar hati dengan inisiatif ini, yang akan memberi manfaat kepada penghuni i-Asrama @ Ayer Keroh, Melaka, terdiri daripada pekerja warga asing berdaftar yang bekerja di kawasan perindustrian Ayer Keroh,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pembangunan kemudahan DOC ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang sama di negeri Melaka pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan PDG Property Group, Datuk Seri Gwee Yew Kiat menyatakan bahawa, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan SWM Environment, sebuah syarikat konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam terkemuka di Malaysia.
“i-Asrama Ayer Keroh merupakan Asrama Bangunan Hijau yang mematuhi piawaian Akta 446 serta Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja yang diwajibkan oleh Jabatan Tenaga Pekerja.
"Diharapkan pembangunan fasiliti DOC ini akan dapat menggalakkan lagi aktiviti kitar semula dalam kalangan penghuni i-Asrama serta meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal secara mampan melalui kaedah pengasingan sisa di punca dan amalan kitar semula.
"Ini juga membuktikan komitmen PDG Property terhadap pematuhan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG),” katanya.
Fasiliti ini akan memberi manfaat kepada 3,264 pekerja warga asing yang menghuni asrama berkenaan.
MoU ini juga menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong dan menyumbang kepada aktiviti promosi yang berkaitan dengan program KitaRecycle oleh SWM Environment. - KitaReporters/Kenyataan Media