Jalan Kg Tuit - Kg Pagi, Hulu Tembeling diancam bahaya! Rosak teruk akibat mendapan, runtuhan
Published byMusim pejur antara ujian Allah memperlihatkan pelbagai bentuk fenomena alam terhadap kehidupan manusia. Selain manusia berdepan musibah banjir akibat hujan lebat, kesan lain juga iaitu bencana hakisan, tanah runtuh, mendapan tanah, arus sungai berlumpur malahan lebih buruk kediaman harta benda termasuk hidupan turut musnah. : KitaReporters
Runtuhan tebing dan mendapan tanah menyebabkan (laluan) jalan raya tinggal separuh membahayakan pengguna berdekatan Kampung Pagi Hulu Tembeling. - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Hulu Tembeling:
https://kitareporters.com/search?search=Hulu+Tembeling
Fenomena hakisan dan mendapan tanah kerap berlaku di kawasan Hulu Tembeling ketika musim pejur (hujan berterusan).
Hakikat kerosakan itu melibatkan laluan utama ke pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut apabila jalan raya antara Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Pagi sejauh 22 kilometer rosak teruk akibat mendapan tanah dan runtuhan tebing.
Kejadian yang berlaku pada 4 Januari 2021 mengundang pemandu kenderaan perlu berhati-hati kerana di beberapa tempat cuma separuh laluan sahaja berikutan mendapan tanah dan runtuhan tebing khususnya paling ketara berdekatan dengan pusat peranginan Kem Nusa.
Abdul Jamin Md Yassin (kanan) menunjukkan mendapan tanah sehingga merosakkan jalan raya antara Kampung Tuit dengan Kampung Pagi berdekatan Sungai Tabung. - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi
Pengguna memberitahu hampir 20 buah lokasi di jalan raya antara Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling semakin berbahaya apabila tekstur permukaan berlubang, retak, tinggi rendah, manakala tanah di bahagian cerun berdekatan jalan mula menggelongsor ke atas jalan.
Fenomena kejadian itu mengundang bahaya serta risiko keselamatan penduduk sekiranya melintas kawasan tersebut.
Abdul Jamin Md Yassin menunjukkan kawasan hakisan dan tanah menggelonsor ke atas jalan raya selepas hujan lebat pada 4 Januari 2021. - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi
Dianggarkan kiri-kira 3,000 orang penduduk di lima buah kampung iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai menggunakan laluan tersebut ke bandar Jerantut.
Jalan raya itu juga merupakan kemudahan bagi agensi kerajaan negeri dan daerah masuk ke pedalaman Hulu Tembeling berurusan dengan penduduk.
ABDUL JAMIN MD YASSIN
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung Pagi, Abdul Jamin Md Yassin berkata, senario itu sebenarnya boleh dilihat sejak tahun lepas lagi bermula dengan kerosakan kecil, iaitu permukaan jalan retak, mendapan dan runtuhan tebing.
"Kita kerap kali menyuarakan masalah ini kepada pihak berwajib namun sejak mula digunakan pada penghujung 2015 kemudahan ini kurang pemantauan penyelenggaraan serta kerja membaik pulih sekiranya berlaku kerosakan kecil.
"Agak pelik, saya difahamkan oleh pihak tertentu jalan raya ini bukan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi siapa yang bertanggungjawab," katanya di Kampung Pagi, Jerantut pada 6 Januari 2021.
Mengulas senario berkenaan, Abd Jamin mengibaratkan 'retak menjadi belah' apabila jalan yang menjadi nadi perhubungan penduduk mukim Hulu Tembeling ke bandar Jerantut rosak semakin teruk sekali gus membahayakan pengguna.
ZULKEFLY JAMALUDIN
Dalam pada itu, Zulkefly Jamaludin dari Kampung Kuala Sat antara penduduk mukim Hulu Tembeling diruntun kebimbangan kerana kerosakan jalan itu menyebabkan terputus hubungan luar dalam masa terdekat.
"Air masih melimpah (banjir) dan arus deras Sungai Tembeling menghalang kami menggunakan bot penambang malahan banyak kawasan jalan luar ditenggelami air menyebabkan penduduk tidak dapat ke bandar sedangkan keperluan dapur hampir berkurangan lebih lagi persiapan persekolahan," ujarnya.
Dia menambah, jalan raya itu juga menjadi nadi pembangunan sektor ekopelancongan di lima buah kampung pesisir Sungai Tembeling sekiranya tidak dibaikpulih serta naik taraf kemungkinan besar pengusaha tempatan kehilangan pendapatan. - KitaReporters
Sebuah kenderaan berdepan kesukaran dan berbahaya apabila melalui permukaan jalan raya yang tinggi rendah akibat mendepan berdekatan Bukit Awan, Kampung Pagi pada 5 Januari 2021. - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi