Semangat 10 guru dalam memperjuang pemerkasaan wanita melalui Projek Kotex She Can membuahkan hasil baru-baru ini apabila mereka menerima geran sebanyak RM10,000 setiap sekolah dari dana terkumpul RM100,000 Kotex She Can. 

Dato' Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyaksikan majlis penyerahan cek dari Kotex kepada 10 sekolah berkenaan pada hari ini. 

Sejak tahun 2018 lagi, Kotex She Can Fund telah memberi ganjaran kepada program dan idea yang memperkasa wanita serta merealisasikan impian wanita demi memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mencapai matlamat mereka tanpa terhalang oleh haid mereka. 

Sebanyak 129 sekolah di seluruh negara telah menyertai Pertandingan Kotex She Can Fund edisi 2021/2022. Kali ini, geran yang dianugerahkan akan digunakan untuk menjadikan sekolah lebih kondusif untuk pelajar perempuan. 



Menurut Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvind Iyer, yang menyerahkan cek kepada 10 orang guru pada 16 Mei 2023 lalu, geran yang diberikan akan digunakan untuk pelbagai inisiatif meningkatkan daya tahan akademik dan emosi dalam kalangan pelajar perempuan. 

“Inisiatif-inisiatif ini termasuklah program-program bengkel dan ceramah bertujuan untuk membina disiplin diri dan keyakinan fizikal, emosi dan intelek serta menaik taraf kemudahan sekolah seperti bilik kaunseling, portal ilmu dan tandas.” 

Arvind juga menambah bahawa penerima-penerima geran tersebut sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai pemenang kerana mereka telah berusaha keras untuk bekerjasama dengan jenama kebersihan wanita terkemuka Kotex bagi memastikan pelajar mereka yang berumur antara 13 dan 17 tahun mengambil bahagian secara aktif dalam projek interaktif Kotex She Can Project, sebuah portal pendidikan pengurusan kesihatan haid dalam talian yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diperakui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

“Program pendidikan kebersihan haid ini sangat kritikal dalam membantu wanita muda memahami bagaimana haid dikaitkan dengan kesihatan reproduktif mereka secara saintifik dan perubahan fizikal yang mereka lalui. 

"Selain itu, kami juga mahu mereka sedar akan implikasi kesihatan dan alam sekitar sekiranya kebersihan haid tidak dijaga,” kata Arvind. 



Beliau menambah bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha Kotex dalam menamatkan fenomena kemiskinan haid di negara ini. 

Beliau menjelaskan bahawa isu kemiskinan haid ini sebenarnya lebih besar daripada masalah akses kepada tuala wanita. Ia juga merangkumi masalah kekurangan pendidikan pengurusan haid dan pengetahuan pengurusan sisa haid. 

Kekurangan kesedaran tentang haid membawa kepada kepercayaan umum terhadap wanita yang tidak baik. 

Kepercayaan umum ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan diri wanita tetapi juga mempengaruhi tingkah laku masyarakat terhadap isu wanita ke arah yang negatif. Ini boleh menghalang kemajuan masyarakat. 

Sebagai jenama kebersihan feminin terkemuka, Kotex bercita-cita untuk menghentikan gejala kemiskinan haid dan memperkasa wanita dengan semangat ‘She Can’. 

Arvind menekankan bahawa pada tahun lepas Kajian Kemiskinan & Stigma Haid Kotex dalam kalangan 746 murid perempuan berusia antara 10 dan 24 tahun mendedahkan bahawa lebih daripada separuh ingin ponteng sekolah apabila mereka didatangi haid. 

Kira-kira 68 peratus pula masih percaya bahawa haid adalah subjek tabu dan kajian lisan yang lalu menunjukkan bahawa mereka takut untuk bersuara berkenaan haid kerana takut diusik dan diejek. 



Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, penemuan sedemikian amat membimbangkan. Kaum wanita mewakili hampir 50 peratus daripada sumber manusia negara Malaysia dengan populasi sebanyak 15.7 juta. 

“Seumpama burung yang memerlukan kekuatan dari kedua-dua sayapnya untuk terbang tinggi, kemajuan masyarakat tidak mungkin berlaku sekiranya wanita dibelakangi akibat pantang-larang masyarakat mengenai haid. 

“Memandangkan wanita dan lelaki muda yang bersekolah hari ini akan menyumbang kepada tenaga kerja sektor awam dan swasta dalam masa beberapa tahun sahaja lagi, individu, komuniti dan institusi harus berganding-bahu dan menyumbang ke arah kemajuan holistik untuk belia. 

"Melalui pendidikan dan pengukuhan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, empati, baik hati dan persefahaman, tabu haid yang kini membelenggu wanita boleh dihapuskan dan membawa kepada kemajuan sosioekonomi,” tambah Nancy. 

“Usaha ini mungkin akan mengambil masa, namun ia merupakan sesuatu yang perlu diselesaikan demi masa depan Malaysia. 

"Perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan oleh itu, kerjasama pihak awam dan swasta seperti ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan perubahan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi. 

Nancy juga berharap untuk menyaksikan lebih banyak lagi kerjasama antara kementerian yang berlainan dan agensi serta penglibatan pihak sekolah-sekolah dan guru-guru dalam program pemerkasaan kebersihan haid, pendidikan kesihatan reproduktif serta acara belia awam yang boleh meningkatkan kesedaran mengenai topik ini. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
14
0
14
0

Copy Link: