Tahu tak? Reka bentuk pesawat kurangkan penularan COVID-19?
Published byPERNAH naik pesawat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini tak? Kalau pernah, mungkin anda akan rasa sedikit sensitif dan terasa takut kerana berada di tempat sempit dengan ramai orang pada satu masa. Pasti ada yang mula terfikir, jika dalam ramai-ramai di atas pesawat ini ada yang positif COVID-19, bagaimanalah agaknya nasib yang lain kan? : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan kapal terbang:
https://kitareporters.com/search?search=kapal+terbang
Jangan risau sangat!! Pengumpulan data oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan hasil simulasi berasingan pengeluar pesawat telah mengesahkan sesuatu yang mampu menarik nafas lega.
Menurut IATA, sistem aliran udara pesawat telah mengawal pergerakan zarah di dalam kabin, sekali gus mengehadkan penyebaran virus COVID-19.
Dapatan tersebut adalah hasil daripada kajian perkomputeran dinamik bendalir (CFD) berasingan yang dijalankan oleh setiap pengeluar di dalam pesawat mereka dengan metodologi yang sedikit berbeza.
Antara pengeluar berkenaan adalah seperti Airbus, Boeing dan Embraer.
“Sistem aliran udara pesawat, penapis udara berzarah berkecekapan tinggi (HEPA), halangan semula jadi sandaran tempat duduk, aliran ke bawah udara serta pertukaran udara berkadar tinggi, telah secara cekap mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat pada waktu-waktu biasa.
“Pemakaian pelitup muka memberi perlindungan tambahan, sekali gus menjadikan duduk berdekatan di dalam kabin pesawat adalah lebih selamat berbanding kebanyakan persekitaran di dalam ruang tertutup yang lain,” demikian menurut kenyataan itu.
“Walaupun tidak ada cara untuk menentukan jumlah tepat kes yang mungkin berkaitan dengan penerbangan, maklumat daripada syarikat penerbangan serta pihak berkuasa kesihatan yang diperoleh IATA, berserta kajian menyeluruh, tidak memberi sebarang petunjuk bahawa jangkitan dalam penerbangan adalah perkara biasa mahupun meluas,” tambah mereka.
Sejak awal tahun 2020, terdapat 44 kes COVID-19 dilaporkan yang mana penularan dikaitkan dengan perjalanan udara, dengan kira-kira 1.2 bilion penumpang melakukan perjalanan.
Ramai juga yang tidak sedar bahawa ciri-ciri reka bentuk pesawat telah direka bagi perlindungan daripada jangkitan semasa penerbangan. Ia diakui oleh IATA sendiri.
Antara ciri-ciri tersebut adalah kedudukan penumpang yang mengehadkan interaksi bersemuka, sandaran tempat duduk sebagai halangan fizikal terhadap pergerakan udara dari satu barisan ke barisan lain dan aliran udara yang diarah ke bawah dari siling ke lantai.
Justeru, bagi IATA, gabungan antara ciri reka bentuk pesawat dan pemakaian pelitup hidung dan mulut melalui prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, mampu mewujudkan sebuah persekitaran berisiko rendah untuk penularan wabak maut tersebut. - KitaReporters