Berita Terkini| Prasarana tawar aset jayakan program imunisasi! Tawar staf sebagai sukarelawan!
Published byPRASARANA Malaysia Berhad menawarkan penggunaan aset bagi membantu program imunisasi, khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin
Norlia Noah berkata, inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan bagi memperkasa
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan
proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas
miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi
bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.
“Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan pesakit yang disahkan positif Covid-19 ke pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, 17 Jun 2021.
Tegas Norlia, sebagai persediaan kesemua kapten bas yang ditugaskan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun 2021 lepas.
“Secara keseluruhan, semua staf barisan hadapan
kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP)
dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat
vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang
dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di
stesen-stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar,
yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.
Katanya, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk
menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat
vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung petugas barisan
hadapan KKM ketika ini. -KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter