Teknologi IoT: Ajaib tetapi benar! Boleh urus ladang cili hanya dengan guna jam tangan pintar
Published byPERTANIAN merupakan punca pendapatan dan kekayaan negara ini suatu ketika dahulu. Namun revolusi zaman telah mendorong para pemimpin negara untuk turut membawa arus kemodenan dalam negara sehingga menukar dari sebuah negara berpendapatan daripada asas pertanian kepada berpendapatan berasaskan industri.
Namun masih ada dalam kalangan rakyat kita yang tetap percaya bahawa sektor pertanian ini suatu sektor yang mampu memberi pulangan terbaik kepada hidup.
Apatah lagi ada dalam kalangan rakyat kita yang cuba menggabungkan antara perkembangan teknologi dengan pertanian sehingga membuatkan sektor pertanian moden kian berkembang dari sehari ke sehari.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan petani:
https://kitareporters.com/search?search=petani
Salah satu contoh terbaik dalam industri pertanian moden ini adalah kaedah amalan yang digunakan oleh Pewaris Bumi Hijau Sdn. Bhd.
Hanya dengan melayari sistem kebun yang diselaraskan dengan teknologi Internet of Things (IoT) atau Internet Pelbagai Benda (IPB) pada jam tangan pintar, syarikat berkenaan mampu melakukan proses pembajaan dan semburan racun kawalan serangga diselesaikan melalui satu klik.
Kaedah itu telah digunapakai oleh usahawan cili fertigasi, Norhashim Kamisan yang terbukti berupaya mengawal ladang miliknya di Telok Panglima Garang, Selangor.
Menurut Norhashim yang juga Pengarah Urusan Pewaris Bumi Hijau Sdn. Bhd., sistem itu berupaya memudahkan operasi penanaman yang boleh dikendalikan di mana sahaja tanpa mengira waktu dan lokasi, asalkan jam tangan pintar ada bersama di tangannya.
“Lebih menarik, kini sistem tersebut ditambah baik dengan dilengkapi kemudahan pengesanan suara di mana sistem itu boleh dikendalikan menerusi arahan suara.
“Ini bermakna, semua aktiviti pembajaan serta kawalan serangga boleh dijalankan semudah kata kunci ‘on pump’,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.
Tambah Norhashim yang telah 14 tahun berkecimpung dalam perusahaan teknologi sistem fertigasi pintar itu, kaedah ini bukan sekadar memudahkan kerjanya, malah ia turut mampu optimumkan penggunaan baja dan racun kawalan serangga agar tiada pembaziran dicipta.
“Ini kerana kaedah ini berupaya memastikan penggunaan baja dan racun kawalan serangga dapat dioptimumkan ke tahap paling efisien berbanding sistem fertigasi konvensional di mana sukatan baja dan racun perlu disukat dan dibancuh secara manual.
“Ia bermakna tiada pembaziran baja dan racun walaupun setitik. Semuanya telah disukat mengikut keperluan pokok sepertimana ditetapkan oleh pengusaha melalui sistem pintar ini,” ujarnya.
Norhashim turut berkongsi mengenai kos operasi yang agak tinggi pada permulaan, namun setelah proses berjalan dengan baik, maka kos berkenaan berjaya diminimumka, sekali gus mencipta keuntungan daripada hasil yang lebih banyak berbanding kaedah tradisional.
“Ramai yang beranggapan pasti kosnya amat tinggi, sebab itu syarikat saya menjalankan beberapa fasa pembangunan sistem ini hasil kerjasama pihak Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memastikan ia dibina sehingga ke tahap mampu milik.
“Pada awalnya, memang harganya agak tinggi, namun kini kami telah berjaya meminimumkan kosnya supaya ramai petani lain dapat mengaplikasikan di kebun ataupun ladang masing-masing,” jelasnya.
Sebagai seorang petani yang telah berpuas hati dengan gabungan teknologi tinggi dan pertanian ini, beliau cukup menyarankan agar IoT ini dikembangkan kepada para petani lain supaya negara kita mampu menjadi pengeluar barangan asas, bukan sahaja mengharapkan kepada negara luar.
“Secara umumnya, teknologi berkenaan bukan sahaja membolehkan petani mengamalkan pertanian yang efisien dan efektif malah pada masa sama meningkatkan produktiviti ke arah mengurangkan kebergantungan hasil import luar negara selari dengan harapan kerajaan,” katanya. - KitaReporters