Ismail Sabri Yaakob meninjau keadaan Hospital Medan ATM di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pada Ahad. Kredit Sinar Harian


SEBANYAK 64 katil disediakan bagi merawat pesakit Covid-19 di Hospital Medan yang sedang disiapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pecahan katil yang disediakan itu membabitkan 60 katil bagi merawat pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat, manakala empat lagi katil khas untuk unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, Hospital Medan terbabit dijangka beroperasi sepenuhnya pada Khamis, 17 Jun ini dengan sesi latihan awal dilakukan pada Selasa, 15 Jun 2021.

"Oleh kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi di Johor, ada kemungkinan berlaku kekurangan katil terutama di ICU. Oleh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) berbincang dengan ATM untuk bantu menambah bilangan katil di HSA.

"Rancangan pembabitan anggota ATM bagi membantu KKM dalam mengoperasikan hospital medan ini membabitkan seorang komander Hospital Medan iaitu Mejar Dr Khir Reza dengan dibantu oleh tiga pegawai dan 30 anggota perubatan ATM dari pasukan-pasukan lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital medan di HSA itu adalah yang keenam dibina dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menampung kapasiti hospital dan wad ICU di Johor Bahru.

"Pengoperasian hospital ini akan membantu meningkatkan kapasiti katil wad Covid-19 dan ICU di negeri Johor khususnya di Johor Bahru. Terima kasih diucapkan kepada yang sentiasa memberikan bantuan kepada KKM dalam perjuangan kita melawan Covid-19 ini," katanya menerusi Facebooknya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

MENTERI BESAR Johor Datuk Hasni Mohammad (tengah) membincangkan sesuatu perkara bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr. Adham Baba ketika meninjau keadaan hospital medan di HSA yang akan beroperasi sepenuhnya 17 Jun 2021

0
0
0
0
0

Copy Link: