SIAPA tidak kenal dengan majalah CLEO, Cosmopolitan, Female, Glam Deko, Her World, Jelita, Marie Claire, Harper’s Bazaar, EH! dan Glam yang merupakan ‘rakan karib’ kepada wanita-wanita moden di negara ini. Tapi kini semua telah tiada kerana penerbitan majalah-majalah tersebut telah ditamatkan. : KitaReporters

MAJALAH terbitan Blu Inc Media bukan sahaja menampilkan maklumat tetapi juga memberi panduan dan idea tetapi merupakan 'rakan karib' wanita moden hari ini. - Gambar hiasan


Majalah yang beroperasi sejak 1974 dan menerbitkan 19 pelbagai majalah itu banyak berjasa dengan menampilkan pelbagai maklumat dan idea.

Namun sayangnya, majalah kesayangan ramai itu tidak lagi meneruskan operasi kerana menerima cabaran hebat digital selain kesan COVID-19 yang membadai negara.

Terbaru, kakitangan penerbitan Blu Inc Media menerima memo daripada pentadbiran berkenaan penamatan operasi syarikat itu berkuat kuasa pada 30 April 2020.


SYARIKAT yang beroperasi sejak 1974 itu akhirnya terpaksa menamatkan operasi berikutan cabaran hebat digital. Kredit foto: Instagram@lifepostofficial.


Sedihnya…akhir majalah itu terkubur begitu sahaja.

Lebih menyedihkan penutupan operasi turut menjejaskan 183 kakitangan yang hilang pekerjaan susulan penamatan operasinya, yang melibatkan penerbitan bercetak dan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azlina Tajuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan kerugian akibat wabak COVID-19.

TIADA LAGI majalah kesayangan ramai yang menampilkan pelbagai maklumat dan idea kepada pembaca. - Kredit foto:  Malaymail.com


"Perniagaan kita sudah pun berdepan cabaran besar daripada 'gangguan' digital sepanjang beberapa tahun lalu.

"Dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19, kerugian bertambah bagi Mac dan April dan trend ini di jangka berterusan untuk beberapa bulan akan datang.

"Maka dengan berat hati Lembaga Pengarah memutuskan untuk menamatkan operasi Blu Inc Media Sdn Bhd berkuat kuasa 30 April 2020 termasuk penamatan semua penerbitan bercetak dan digital,” katanya yang dipetik daripada  memo yang diberikan kepada kakitangan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, situasi kritikal yang dihadapi organisasi media sudah dijangka sebelum ini. 

Keadaan itu jelas beliau berlaku kerana pembaca dan pengiklan mula beralih kepada medium digital.

“Pengurangan iklan menyebabkan organisasi media menghadapi kekangan kewangan yang agak kritikal. 

“Saya berpendapat BluInc sudah sampai ke tahap kritikal dan pasaran majalah di pasaran terbuka merosot mungkin pembaca sudah beralih ke online.

“Namun dialam talian, saya tidak pasti sama ada mereka mengenakan bayaran atau tidak,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Sebelum ini, Kumpulan Utusan yang telah beroperasi lebih 80 tahun menutup operasi kerana aliran kewangan yang kritikal sehingga menjejaskan lebih 800 kakitangannya.

Kini kesedihan itu beralih pula kepada kakitangan majalah terkenal di negara kita pula menjejaki langkah sama seperti Utusan.

Semoga ada sinar baharu selepas ini kepada semua kakitangan. Ingatlah kata-kata positif Ustaz Ebit di sebalik ujian ada rahmat. - KitaReporter

4
1
5
0
0

Copy Link: