Gelombang ketiga! Ancaman Covid-19 bertambah serius! Perancis laksanakan lockdown kali ketiga

Published by
KitaReporters

Emmanuel Macron. - Kredit foto: Wikipedia


GELOMBANG ketiga pandemik Covid-19 kini melanda Perancis. Dengan angka kematian mencecah 100,000 orang, unit rawatan rapi (ICU) hospital mencapai kapasiti maksimum dan proses suntikan vaksin lebih perlahan daripada dijangka, negara itu tiada pilihan lain mengekang penularan selain melaksanakan total lockdown (perintah berkurung sepenuhnya) buat kali ketiga

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengarahkan lockdown tersebut juga terpaksa melupakan hasratnya untuk terus membuka negara itu demi melindungi kepentingan ekonomi. Jika lockdown tidak dikuakuasakan mulai sekarang, keadaan akan jadi lebih tidak terkawal.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perancis 


PELAKSANAAN lockdown kali ketiga di Perancis mulai 3 April 2021 menyaksikan sekolah akan ditutup selama tiga minggu. - Kredit foto: The Connexion


Memetik laporan cnbc.com, lockdown yang bermula pada Sabtu 3 April 2021 itu berkuat kuasa untuk sekurang-kurangnya sebulan. Jika sebelum ini, lockdown hanya dikenakan di beberapa kawasan seperti Paris dan beberapa bahagian wilayah utara dan selatan, kini ia berkuat kuasa ke seluruh nagara.

Semua perniagaan yang tidak penting ditutup mulai Sabtu dan perjalanan melebihi 10 kilometer dari rumah dilarang, kecuali degan alasan menasabah.

Sehubungan itu juga, sekolah akan ditutup selama tiga minggu, walaupun Macron sebelum ini berjanji akan melindungi sektor pendidikan daripada ancaman Covid-19.

Perancis sudah berusaha untuk mengelakkan serangan gelombang Covid-19 ketiga sejak awal tahun lagi. Macron juga menaruh harapan untuk membawa Perancis keluar daripada cengkaman Covid-19 tanpa sekali lagi ‘mengunci’ negara itu bagi membolehkan ekonomi negara itu pulih setelah kejatuhan tahun 2020 lalu.

Namun kini segala harapan dan impiannya musnah apabila pandemik tersebut semakin serius mengancam Perancis dan juga kebanyakan negara Eropah.


ORANG ramai bersiar-siar di Paris yang akan terlibat dengan total lockdown selama sebulan. - Kredit foto: France 24. 


Dalam tempoh penutupan sekolah selama tiga minggu, pelajaran dan pembelajaran (P&P) akan dilakukan secara online. Selepas itu untuk dua minggu seterusnya, sekolah akan bercuti.

Apabila tamat tempoh tersebut, murid sekolah rendah dan tadika akan kembali ke sekolah. Pelajar peringkat menengah rendah dan tinggi pula akan meneruskan P&P secara online untuk seminggu lagi.

Macron menyifatkan ini sebagai langkah terbaik untuk memperlahankan penularan pandemik. Dia bangga kerana Perancis berupaya membuka sekolah untuk jangka waktu lebih lama pada masa pandemik dibandingkan dengan negara-negara jiran.


SUASANA di sebuah bilik ICU yang menempatkan pesakit Covid-19. - Kredit foto: France 24.


Sehingga ini, Perancis melaporkan lebih 4.6 juta kes Covid-19 dan hampir 100,000 kes kematian yang berkait dengan pandemik berkenaan.

Jumah pesakit dalam ICU pula melepasi paras 5,000 orang, melebihi angka tertinggi pernah dicatat sewaktu perintah lockdown enam minggu pada tahun 2020.

Sehubungan itu, Macron memberitahu, kapasiti katil di ICU yang menghadapi kekurangan kritikal akan ditambah sehingga 10,000 unit.

Pemulihan ekonomi Perancis dijangka akan menjadi lebih perlahan dengan pelaksanaan lockdown kali ketiga ini. Sebanyak 150,000 sektor perniagaann akan ditutup mengakibatkan kerugian 11 bilion Euros (RM53 bilion) sebulan.

Perancis berharap dengan lockdown pada bulan April 2021 ini, dibantu oleh proses suntikan vaksin lebih pantas, akan membolehkan beberapa sektor negara itu dibuka semula perlahan-lahan dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP). - KitaReporters.com 


0
0
0
0
0

Copy Link: