Dr Zaini Hussin berkata, pembekuan cuti itu membabitkan kakitangan pada semua peringkat dan jabatan. 


CUTI 14,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dibekukan termasuk cuti Aidilfitri berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pembekuan cuti itu membabitkan kakitangan pada semua peringkat dan jabatan.

"Sudah lama mereka tidak dibenarkan bercuti, tambahan lagi apabila kes Covid-19 semakin meningkat kini. Bagaimanapun pihak kementerian sudah gerakkan semua kakitangan jabatan kesihatan seluruh negeri untuk membantu kita di sini (Kota Bharu)," katanya yang dipetik oleh Berita Harian di Kota Bharu, pada Isnin 3 Mei 2021.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) terbaharu yang dibuka hari ini di Dewan Utama Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

PKRC keenam itu mampu memuatkan kira-kira 500 pesakit Covid-19 dan sebagai permulaan akan menempatkan 150 pesakit lelaki pada hari ini, 3 Mei.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan seramai 531 individu sudah disaring dengan 163 daripada mereka positif yang berkait dengan dua kluster terbaharu di Kelantan, iaitu Kluster Kemayan di Bachok dan Kluster Jalan Padang Tembak.

"Mereka memberi kerjasama baik, malah ujian calitan yang dibuat juga dibayar sendiri. Ini satu tanggungjawab yang bagus kerana sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kita," katanya.

Mengenai kes yang semakin meningkat di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) melebih nilai Rt 1.0, Dr Zaini berkata, sesuatu yang sangat membimbangkan.

Tegas beliau, hanya disiplin rakyat dapat memutuskan rantaian pandemik itu dan bukan hanya bergantung kepada petugas kesihatan semata-mata.

"Kalau tengok Rt sebulan lalu memang meningkat dan sentiasa berada pada paras melebihi (Rt) 1.0. Hari ini (3 Mei 2021) 1.16 dan semalam (2 Mei 2021) 1.21. 

"Selagi Rt sentiasa di atas nilai Rt 1, itu sesuatu yang membimbangkan kita," ujarnya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) terbaharu, yang dibuka di Dewan Utama Kampus USM Kubang Kerian pada 3 Mei 2021, boleh menempatkan kira-kira 500 pesakit Covid-19. - Kredit foto: Utusan Online

0
2
0
0
1

Copy Link: