Video| Hukum guna Android box? Berdosa atau tak berdosa? Ini jawapan mufti yang perlu anda tahu!
Published byAndroid box kini menjadi kegilaan orang ramai yang mahu berjimat. - Kredit foto: Google Image
DEWASA ini ramai menggunakan Android box (kotak Android) kerana ia lebih menjimatkan berbanding melanggan saluran berbayar yang menyebabkan pengguna terpaksa membayarnya secara bulanan, tetapi Android box sebaliknya.
Bagi pengguna Android box, mereka hanya perlu bayar sekali sahaja dan itu menjadi penyebab utama kebanyakan pengguna beralih arah. Apatah lagi saluran berbayar sering mengulang siar cerita-cerita lama dan membosankan!
Tidak dengan Android box, hanya sekali bayar, anda boleh menonton pelbagai jenis siaran termasuk filem-filem pecah panggung terkini. Malah, anda juga boleh menonton cerita-cerita yang disiarkan dalam saluran berbayar. Berbaloi bukan?
Lagi kisah menarik berkaitan Android
Penggunaan Android box membolehkan pengguna menonton pelbagai saluran dari seluruh negara. - Foto: Google Image
Namun, pernahkah anda terfikir hukum mengenai pembelian dan penggunaan Android box? Sebelum persoalan itu dihuraikan, apa kata kita ketahui apa itu Android box.
Android box adalah peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia.
Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran penstriman (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.
Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti Playstore, Internet dan lain-lain.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma.
Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.
Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Menurut laman website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, asal hukum bagi membeli dan menggunakan Android box adalah harus.
Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ia adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya.
Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah," surah al-Baqarah ayat 188.
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran.
Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.
Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Hanya sekali bayar, anda boleh menonton pelbagai cerita.-Foto: Google Image
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya.
Walau bagaimanapun, bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaan Android box adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. - KitaReporters