Jumpa nanti di Kemboja 2024! Malaysia lepasi sasaran 36 pingat emas! Sukan Para ASEAN 2022 ditutup!
Published bySesi penyerahan bendera APSF kepada wakil Kemboja yang bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Para ASEAN ke-12 yang akan berlangsung dari 3 Jun hingga 9 Jun 2024 - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube
SUKAN Para ASEAN (APG) ke-11 atau dikenali juga Sukan Solo atau Surakarta 2022, yang berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos 2022 di Solo, Indonesia hari ini melabuhkan tirainya pada Sabtu (6 Ogos 2022 ) malam secara rasmi dalam satu majlis berwarna-warni dan penuh gilang gemilang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Para
PRESIDEN Joko Widodo hadir menyaksikan majlis penutupan rasmi temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 atau dikenali juga Solo 2022 di Stadium Manahan, Solo, Indonesia. - Foto kredit Bernama
Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau sangat berterima kasih kepada 1,200 atlet dari 11 buah negara yang mengambil bahagian dalam temasya yang berlangsung selama lapan hari itu.
Tambahnya, dia turut berasa gembira dan berpuas hati selaku
tuan rumah dapat mengendalikan APG dengan cemerlang ketika hadir penutupan
rasmi temasya dwitahunan itu di Stadium Manahan, Solo, Indonesia.
Menepati ramalan, Indonesia jelas berada di kedudukan tangga teratas daripada sebelas (11) negara yang bertanding.
Sekali gus melepasi sasaran (asal) 104 pingat emas berbanding 177 emas yang diperolehi kali ini bersama dengan 144 pingat perak dan 107 gangsa.
Negara garuda itu turut menguasai tujuh jenis sukan iaitu olahraga (57 emas), badminton (13), judo (9), catur (13), powerlifting (18), berenang (9) dan tenis meja (15).
Manakala, Malaysia menamatkan saingan temasya tersebut di tempat keempat di belakang Thailand (113-113-86) dan Vietnam (63-58-54) dengan kutipan 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa dengan 70 pingat secara keseluruhan.
Rekod kutipan pingat kali ini jauh merosot berbanding ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, apabila
muncul naib juara dengan kutipan pingat 90 emas, 85
perak dan 83 gangsa.
Cabaran Malaysia digalas oleh 72 atlet dalam 11 jenis sukan seperti badminton, boccia, bola tampar duduk, catur, goalball, ping pong, olahraga, memanah. renang, powerlifting dan tenis berkerusi roda.
KIRI atlet para negara Mohamad Ridzuan (Dekwan), Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard mengibarkan Jalur Gemilang selepas mereka memperolehi pingat emas dalam sukan olahraga.
Datuk Abdul Latif Romly - Foto kredit Bernama
Amat membanggakan peserta-peserta negara, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20), Eddy Bernard (Lompat Jauh F44/64) dan pemain badminton, Cheah Liek Hou kekal menunjukkan prestasi terbaik mereka dengan merangkul pingat emas masing-masing.
Persembahan tarian Indonesia yang menampilkan keunikan adat resam, kesenian dan kebudayaan mereka di majlis penutup temasya tersebut. - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube
Selepas lebih seminggu berkampung di tanah Jawa, sejumlah
10,000 penonton diraikan dengan persembahan tarian kebudayaan Indonesia yang
menampilkan ikon ‘Hanuman Putih’ dari Pura Mangkunegaran dan Sangkar Muncar
Iswara.
Seramai 600 penari terdiri daripada mereka yang kurang
upaya (OKU) dan normal mengambil bahagian dalam majlis penutup itu.
Persembahan tarian turut menampilkan negara Kemboja dengan
50 orang penari bergabung dengan 20 penari Indonesia dalam satu kombinasi
persembahan kebudayaan antara kedua-dua negara.
Tokoh Hanuman Putih
dipilih kerana melambangkan ‘kembali putih’ untuk para atlet. Ia bermaksud
tidak ada yang menang atau kalah, hanya matlamat dan keinginan untuk "Menggapai untuk Kebersamaan" atau ‘Striving for Equality’.
Persembahan penutup APG ke-11 agak unik dan berbeza jika dibandingkan dengan majlis ‘pembukaan rasmi’ tempoh hari yang menampil kesenian dan kebudayaan lokal Solo bersama maskot ‘Rajamala’.
Maskot ‘Rajamala’.
Upacara penutupan dimeriahkan dengan persembahan hiburan
artis dan penyanyi terkenal Indonesia seperti Andien, Yovie & Nuno dan Yura
Yunita.
Majlis diteruskan dengan persembahan bunga api yang dipancarkan memenuhi stadium dan atlet
diiringi keluar padang menandakan majlis penutupan selesai sepenuhnya.
Kemboja bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Para ASEAN ke-12 yang akan berlangsung dari 3 Jun hingga 9 Jun 2024. - KitaReporters
Sebahagian penonton yang hadir dalam acara penutupan rasmi APG ke-11 atau Solo 2022 di Stadium Manahan, Solo, Indonesia. - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube
Sumber:
https://www.utusanborneo.com.my/2022/07/31/perasmian-sukan-para-asean-pukau-10000-penonton-dengan-percikan-bunga-api
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2017/09/329406/para-kl2017-sukan-para-asean-2017-ditutup-secara-rasmi
https://www.flashsukan.com.my/sukan-para-asean-2022-kontinjen-negara-diraikan-bersama-10-negara-bertanding/
https://www.thesundaily.my/home/jokowi-closes-11th-asean-para-games-over-to-cambodia-next-EB9553574
https://sukanz.com/202218716/
video https://youtu.be/iCN1znPU8hM
https://www.youtube.com/watch?v=iCN1znPU8hM&ab_channel=ImranSports24