BANGUNAN Wisma Darul Iman yang menempatkan empat pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Terengganu ditutup selama 14 hari  bermula hari ini, Isnin 17 Januari 2021 hingga 30 Januari 2021. Penutupan tersebut berikutan terdapat lima kes positif COVID-19 di bangunan yang turut menempatkan pelbagai pejabat pentadbiran kerajaan negeri itu. : KitaReporters


Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu yang menempatkan empat pejabat Exco Terengganu ditutup 14 hari


Lagi laporan-laporan berkaitan COVID-19:

https://kitareporters.com/search?search=covid-19


Empat pejabat yang terbabit dalam penutupan itu ialah Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar; serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.

Pengarah JKNT Dr Nor Azimi Yunus


Katanya, penutupan itu perlu dilakukan kerana terdapat lima kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Dr Nor Azimi berkata hasil siasatan mendapati kes-kes positif berkenaan mempunyai kontak rapat dengan pekerja di pejabat empat Exco berkenaan.

Beliau berkata, penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan bagi mengelak penularan.


ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim


Susulan kejadian itu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu termasuk tiga Exco kerajaan negeri diarah menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat seorang individu disahkan positif COVID-19.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Seorang lagi yang terlibat ialah ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu.

Berikutan  itu,  semua program melibatkan pemimpun terbabit telah dibatalkan. Rakyat negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan sebolehnya elak keluar rumah.


 

Dr Azman Ibrahim membuat catatan menerusi Facebook miliknya


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar.Dr Azman Ibrahim dalam catatan menerusi Facebook miliknya berkata, pejabatnya antara yang terlibat dalam ditutup sementara.

"Cuma Pok Cik tak dikenakan arahan kuarantin kerana tak terlibat close contact dengan staf positif Covid.

"Dalam tempoh 14 hari ini, pejabat Pok Cik ada di kebun, sawah, ladang, jeti nelayan, kandang lembu dan di mana-mana sahaja kita boleh berkhidmat kepada rakyat. 

“Mohon maaf kepada yang dah buat temu janji untuk berkunjung ke pejabat. Urusan yang memerlukan kesegeraan kita boleh jumpa di mana-mana lokasi yang sesuai,” katanya menerusi catatan tersebut. - KitaReporters

2
2
7
2
1

Copy Link: