Tukun bukan sebarang tukun! Pulihara, biak ikan! Halang pukat tunda! Tingkat sosioekonomi nelayan!
Published byAhmad Samsuri menurunkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Terengganu. - Kredit gambar: Media MB Terengganu
KAJIAN yang telah dijalankan oleh Institut Marin AsiaTenggara (ISMAT) Terengganu dan Institut Kajian Dasar Pertanian Dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati lokasi tukun yang dilabuhkan di beberapa kawasan perairan Terengganu menunjukkan impak positif kepada sosioekonomi nelayan negeri itu.
Kajian tersebut mendapati sekitar 80 peratus komuniti nelayan bersetuju bahawa hasil ikan semakin meningkat selepas tukun ditempatkan di dalam laut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tukun tiruan
Ahmad Samsuri Mokhtar
Terbaharu, lapan unit tukun tiruan konservasi jenis ‘kuboid juvenil’ bernilai RM270,000 telah selamat dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Kapas, Marang, pada 26 Jun 2022.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Program Pembangunan Tukun Tiruan yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan untuk pemuliharaan dan pembiakan sumber bukan untuk tangkapan.
Katanya, tukun tiruan tersebut yang dilabuhkan sekitar jarak tiga hingga lima batu nautika dari pantai telah dilengkapi dengan ciri-ciri khas yang direka bagi menghalang pencerobohan vesel haram pukat tunda di kawasan berkenaan.
Sebuah tukun tiruan sedang dilabuhkan ke dasar laut di Pulau Kapas, Terengganu
Ahmad Samsuri berkata, program ini dijangka akan disusuli dengan 18 lagi unit tukun penghalang pukat tunda pada September 2022 ini di perairan Dungun dan Kemaman menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM500,000.
“Manfaat yang didapati bagi program-program ini adalah semestinya untuk rakyat negeri Terengganu, dan khususnya buat 8,635 orang nelayan di negeri Terengganu,” katanya ketika melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu pada 26 Jun 2022.
Proses melabuhkan tukun tiruan untuk pembiakan ikan di perairan Pulau Kapas, Terengganu
Program melabuh tukun tiruan pada 26 Jun 2022 di perairan Taman Laut Pulau Kapas itu bukanlah kali pertama yang Kerajaan Negeri laksanakan.
Malah, pada 2021 sebanyak 57 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di 6 daerah Terengganu yang melibatkan jumlah peruntukan RM1.394 juta.
Manakala pada tahun 2020, sebanyak 16 tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda dilabuhkan di perairan Kuala Terengganu dan Besut dengan peruntukan RM 0.5 juta.
Ahmad Samsuri (tengah) bergambar kenangan bersama kru Taman Laut sebelum melakukan kerja melabuhkan tukun
Bagi tahun 2018 dan 2019 juga sebanyak RM 1 juta telah diperuntukkan untuk program melabuh tukun di perairan Laut Besut, Kuala Nerus dan Setiu.
“Usaha ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk memperkaya sumber perikanan, sekali gus untuk rakyat, dan khususnya buat 8,635 orang nelayan Negeri Terengganu,” kata Ahmad Samsuri.
Malah, katanya, ia juga merupakan usaha jangka panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Negeri Terengganu. - KitaReporters
Kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Terengganu