Berita Terkini| Tak imbas MySejahtera! Tak pakai pelitup muka! Neelofa, suami ngaku tak bersalah
Published byTULAR gambar yang menunjukkan pasangan Neelofa dan suami berada di sebuah kedai di Nilai 3, pada awal Mei 2021 lalu.
USAHAWAN dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pasangan itu tiba
di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 8.50 pagi 20 Mei 2021 kerana didakwa atas dua
pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara
manual ketika masuk ke dalam sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan pada 2 Mei 2021 lalu.
Pendakwaan terhadap Neelofa dan suami mendapat liputan
meluas media apabila petugas media dari pelbagai agensi tiba seawal jam 7.30
pagi.
Sementara itu Utusan Malaysia melaporkan usahawan kelahiran Kelantan itu dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di Mahkamah Majistret Seremban di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Kes akan disebut semula pada 4 Jun 2021.
Sebelum ini media melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, bahawa pertuduhan ke atas pasangan terbabit akan dijalankan selepas kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB membabitkan kedua-duanya dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Pada 4 Mei 2021, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.
Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta
pembantu kedai permaidani berkenaan.
Neelofa menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa
merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli permaidani dan netizen
mempersoalkan bagaimana dia boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli
barang perhiasan rumah.
Isu itu mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video dalam akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai permaidani. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
NEELOFA bersama suaminya, Muhammad Haris tiba di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 20 Mei 2021. - Kredit foto: Utusan Malaysia.