SEMEMANGNYA hidupan laut sangat cantik dan menarik untuk dilihat. Jadi, tidak hairanlah ramai yang suka melakukan selaman dan bersnokel untuk melihat keindahan hidupan bawah laut. Aktiviti ini semakin popular dan menjadi sebahagian daripada pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pelancongan. : KitaReporters

Anda boleh didakwa sekiranya melakukan perkara seperti ini terhadap penyu.


Pakej menyelam dan bersnokel dilihat memberi pendapatan lumayan kepada operator dan bot pelancongan.

Namun, jangan dek kerana mengejar keuntungan, operator (pengendali) dan bot pelancongan tidak mengendah atau melanggar undang-undang dengan membenarkan para pelancong menyentuh hidupan laut yang dilindungi seperti penyu.

Mereka bertanggungjawab memberi taklimat kepada pelancong apa yang tidak boleh dilakukan ketika melakukan aktiviti tersebut.

Namun, apa yang dikesali masih ada pihak yang mengambil ringan malah menggalakkan pelancong menyentuh hawan dilindungi.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial seorang individu dengan bangganya berkongsi gambar sedang memegang penyu. Menurut individu tersebut, dia sangat gembira dan berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh bot pelancongan terbabit.

“Puas hati sungguh dengan servis (nama digelapkan). Minta nak private bot pun dapat, nak penyu pun dapat. Saya nak bergambar dengan penyu. Boleh dik. Terus bot man terjun ke dasar bawa naik penyu,” tulisnya bangga.


Kejadian dipercayai berlaku di Pulau Perhentian Besar, Terengganu. Kes tersebut mendapat perhatian pelakon Sharifah Sofia yang kini sering mendekatkan diri dengan alam semula jadi selaku aktivis alam sekitar.


Menerusi Twitter, dia berkongsi tangkap layar hantaran oleh individu yang bergambar dengan penyu itu dan ingin tahu siapakah dalang yang bertanggungjawab atas kelakuan tersebut.

“Anda tidak seharusnya berbangga dengan perkara seperti ini. Anda semua, saya sedang berusaha untuk mengetahui siapakah pengendali ini. Sekiranya anda ada sebarang idea, bagi tahu saya,” tulisnya.


Penyu merupakan salah satu haiwan laut yang dilindungi. Anda tidak dibenarkan berada terlalu dekat, menyentuh dan bawanya keluar dari air.


Sebelum ini, pada tahun 2019 pernah tular dalam media sosial sekeping gambar seorang kanak-kanak warga asing duduk di atas seekor penyu yang dibawa naik ke atas bot.

Gambar ini pernah tular dalam media sosial pada tahun 2019 sehingga membangkitkan kemarahan netizen.


Gambar tersebut mengundang marah netizen yang menyifatkan ia sebagai penganiayaan terhadap haiwan. 

Tak salah nak menyelam atau bersnokel (snokeling) untuk menikmati keindahan hidupan laut tetapi jangan sampai mengganggu hidupan tersebut. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: