Berita Terkini| Khutbah, solat Jumaat di Sabah diringkaskan! Maksimum 10 dan 7 minit - JHEAINS
Published bySOLAT Jumaat ditunai dalam tempoh tujuh minit, imam membaca surah pendek dan doa Qunut Nazilah. - Kredit foto: kosmo
MASA khutbah dan solat Jumaat di Sabah dipendekkan masing-masing kepada maksimum 10 dan tujuh minit, bermula hari ini, Jumaat, 28 Mei 2021 bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu diputuskan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) sebagai panduan pelaksanaan
aktiviti di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) di negeri berkenaan.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk
Masidi Manjun berkata, azan Jumaat akan dikumandangkan mengikut waktu zohor.
Selepas azan pertama dan solat sunat qobliah, azan kedua akan terus dilaungkan dengan tempoh lebih pendek berbanding yang pertama.
"Khatib akan memendekkan bacaan khutbah pertama
dan kedua membabitkan maksimum 10 minit seperti yang disediakan JHEAINS. Hanya
penggunaan teks khutbah JHEAINS atau yang mendapat pengiktirafan dibenarkan.
"Solat Jumaat pula ditunaikan dalam tempoh
maksimum tujuh minit. Imam membaca surah atau ayat pendek dan doa Qunut
Nazilah. Selepas imam memberi salam, hanya wirid dan doa ringkas," katanya
dalam kenyataan media pada Jumaat, 28 Mei 2021.
Masidi berkata, jumlah jemaah dibenarkan hadir di
masjid atau surau pula dikekalkan mengikut kapasiti selepas mengambil kira
penjarakan fizikal satu meter.
Bagaimanapun, kanak-kanak, golongan berisiko,
bergejala dan masih dalam pemantauan atau siasatan Covid-19 adalah dilarang
hadir.
Selain itu tegas beliau jemaah diwajibkan membawa
sejadah sendiri, digalakkan berwuduk dari rumah serta perlu mematuhi semua SOP
ditetapkan di masjid dan surau, termasuk merekodkan kehadiran serta memeriksa
suhu badan. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
SOP baharu itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) sebagai panduan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .