PERSEKITARAN tempat tinggal yang bersih dan kemas dapat melahirkan ketenangan jiwa dan kehidupan yang cukup harmoni bersama jiran-jiran dan penduduk setempat. 

Bagaimanapun jika persekitaran tempat tinggal kita kotor, sampah dibuang merata-rata tempat, pasti yang tinggal di situ rasa berserabut dan tidak tenang. 

Kebimbangan juga akan menghantui mereka kerana persekitaran kotor akan mengundang banyak penyakit seperti demam denggi yang disebabkan nyamuk aedes, kencing tikus dan kehadiran binatang berbisa seperti ular dan sebagainya yang mengancam nyawa penduduk. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kebersihan dan sampah sarap

Sebuah rumah yang sangat bersih dijaga oleh pemiliknya di Seksyen 7 Shah Alam


Apa yang jelasnya menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal adalah tanggungjawab bersama. 

Di kawasan taman perumahan, khususnya di bandar raya Shah Alam kebersihan dan kecantikan persekitaran menjadi tanggungjawab penduduk setempat. Lebih lebih lagi mereka yang tinggal di situ mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan mempunyai status yang dihormati dalam masyarakat. 

Amatlah memalukan persekitaran yang didiami oleh ramai yang berkedudukan yang baik dalam masyarakat ini tercemar dengan sikap malas dan tidak suka menjaga persekitaran dengan bersih. 


Sikap kurang sivik menduduk yang membuang sampah cantasan pokok tanpa memotong kecil dahan dahan dan dikumpulkan setempat



Sikap bersih, rajin mempamerkan akhlak dan peribadi yang mulia . Islam juga mengajar umatnya sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran hidup. 

Dalam hal ini untuk menjaga persekitaran yang baik bukanlah hanya boleh dilakukan oleh seorang sahaja tetapi harus menjadi tanggungjawab bersama semua yang tinggal dalam kawasan yang sama menjaga kebersihan dan kemaslahatan bersama. 

Oleh yg demikian perlu ada sebuah persatuan penduduk yang aktif  untuk bekerjasama menjaga persekitaran berkenaan.  

Dalam hal ini persatuan penduduk memainkan peranan yang penting dalam mengeratkan ukhuwah (persaudaraan) sesama penduduk serta menjalankan aktiviti yang membawa manafaat untuk semua yang tinggal dalam satu kariah. 

Namun tidak dinafikan ada persatuan penduduk yang hanya tinggal nama dan tidak lagi aktif menganjurkan apa apa aktiviti untuk kebaikan bersama. Malah masalah sampah masalah persekitaran yang kotor juga tidak dibincangkan untuk ditangani bersama.

Terdapat juga individu individu yang sangat antisosial yang tidak mahu bercampur dengan orang lain dalam mensejahterakan tempat tinggal mereka. Selain antisosial dan bersikap "raja" mereka juga degil tidak mahu mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan pihak persatuan. Sangat sukar berurusan dengan manusia seumpama ini.  



Ketua Bahagian Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata penduduk tidak boleh mengharapkan usaha menjaga kebersihan kawasan mereka kepada pihak MBSA sahaja, mereka perlu ada persatuan penduduk yang sama-sama menjaga persekitaran yang bersih dan sihat untuk didiami. 

Beliau berkata peranan persatuan penduduk memang sangat penting sebab banyak perkara dapat diuruskan oleh persatuan penduduk untuk kesejahteraan penduduk setempat. 

Persatuan penduduk perlu aktif dan menjadi nadi penduduk setempat untuk pelbagai aktiviti dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka. Selain itu mereka juga boleh berbincang dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk menjalankan aktiviti yang boleh membawa faedah bersama kepada seluruh penduduk setempat. 

Pihak MBSA dan kontraktor kebersihan yang dilantik oleh MBSA iaitu KDEB Waste hanya akan mengutip sampah mengikut jadual pungutan. Namun begitu, penduduk setempat diminta untuk mengikut peraturan yang telah diberi bagi membantu pihak KDEB memudahkan tugas mengutip sampah dengan mengikat sampah-sampah pokok atau memasukkan sampah-sampah daun ke dalam plastik unuk memudahkan pihak KDEB waste mengangkat sampah-sampah berkenaan. 

Jika terus menerus diteraburkan di sekitar kawasan, ia akan menyukarkan pihak KDEB Waste yang mempunyai rutin mengangkat sampah di banyak kawasan yang dijadualkan.


Pihak KDEB Waste mengangkat sampah sampah daun di perumahan Seksyen 7 Shah Alam


Apa yang jelas, pihak-pihak tertentu sudah menjalankan tugas mereka, justeru penduduk sendiri juga harus bertanggungjawab menjaga persekitaran masing-masing untuk mengelak pelbagai masalah yang bakal mendatang. 

Mungkin boleh diadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka 3 bulan sekali atau 6 bulan sekali. Selain dapat membersihkan persekitaran mereka juga dapat mengeratkan persaudaraan dan saling mengenali jiran tetangga. - KitaReporters


Persekitaran yang bersih dan kemas memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang berada di situ. 

16
9
0
8
0

Copy Link: