KENCING manis atau diabetes adalah antara penyakit kronik yang selalu berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama kaum Melayu. Seperti namanya, penyakit ini berpunca daripada pengambilan gula berlebihan. Orang Malaysia sememangnya gemar makan dan minum yang manis-manis. : KitaReporters

Teh tarik manis jadi minuman kegemaran ramai orang Malysia. - Kredit foto: Google Image


Lagi cerita-cerita berkaitan kesihatan:

https://kitareporters.com/search?search=kesihatan


Apa tidaknya, pagi pekena teh tarik dan kuih-kuih manis. Tengah hari pula pekena sirap air atau air berkarbonat dan malam pun air manis juga. Air kosong hanya ‘hiasan’ semata-mata tanpa disentuh!

Usia baru 30-an, sudah ada kencing manis akibat gaya hidup yang tidak sihat. Sudahlah tidak mengamalkan pemakanan yang sihat, kemudian mudah percaya pula pada dakwaan-dakwaan yang tidak berasas atau petua dalam konteks kesihatan tanpa merujuk pakar.

Baru-baru ini tular dalam media sosial satu video memperlihatkan seorang individu mendakwa limau kesturi boleh mengurangkan paras gula dalam minuman berkarbonat.

Tangkap layar daripada video yang tular mendakwa limau kesturi mengurangkan gula dalam air berkarbonat.


Dalam video tersebut, menunjukkan individu terbabit menjalankan uji kaji dengan mengukur paras gula dalam minuman berkarbonat yang sudah dicampur limau kesturi dan mendapatinya bacaannya turun.

Namun, ahli kimia dikenali sebagai Dr Che Puteh Osman menafikan kebenaran dakwaan tersebutTidak mahu orang

ramai keliru dan percaya dengan dakwaan tidak berasas itu, beliau tampil menjelaskan pekara sebenar dalam Twitternya.

“Betul ke tambah limau kesturi di dalam air berkarbonat mengurangkan gula di dalamnya? Baru-baru ini tular satu video mengenai bacaan gula dalam air berkarbonat yang berkurang setelah diperah limau kesturi. Individu tersebut mengukur bacaan gula menggunakan strip glucometer,” tulisnya.


Kemudian beliau menjelaskan dengan lebih terperinci untuk menyangkal dakwaan tersebut.

“Sebelum itu, mari kita kenal bagaimana strip glucometer mengesan kehadiran gula. Strip itu dicipta dengan menanam enzim glucose oxidase (GOx) dan ferisianida.

“GOx adalah sejenis enzim yang bertindak balas dengan glukosa pada pH isoelektrik dan pada konfigurasi Beta-D-glukosa.

“Beta-D-glukosa akan bertindak balas dengan GOx dan hasilkan asid glukonik dan hidrogen peroksida. Asid glukonik yang terhasil daripada tindak balas enzimatik antara Gox dan ferisianida akan menghasilkan ferrosianida. Mesin mengesan ferosianida dan berkadar langsung dengan glukosa.


“Apa akan terjadi jika terdapat perubahan pada pH larutan dan konfigurasi molekul glukosa? Jika pH menjadi lebih berasid dengan tambah limau kesturi, atau menjadi lebih beralkali dengan tambah soda bikarbonat, maka enzim ini tidak lagi efisien bertindak balas dengan glukosa.

“Jika berlaku perubahan konfigurasi glukosa akibat perubahan pH, maka enzim ini tidak boleh lagi mengikat substrat kerana bentuknya tidak lagi muat dalam kaviti enzim.

“Ibarat kunci dan manga, jika terdapat perubahan pada bentuk kunci, maka mangga tidak lagi boleh dibuka,” jelas ahli kimia wanita itu.


Menurutnya lagi, walaupun strip glukometer hanya digunakan untuk membaca glukosa, ia tetap dapat membaca kandungan gula dalam air berkarbonat, namun bacaannya kurang tepat.

“Jika strip glukometer ini hanya digunakan untuk membaca glukosa, kenapa terdapat bacaan apabila digunakan untuk membaca kandungan gula dalam air berkarbonat?

“Sukrosa merupakan sejenis disakarida yang terdiri daripada fruktosa dan glukosa.

“Enzim di saluran pencernaan mencerna disakarida menjadi glukosa dan fruktosa. Sukrosa masih mengandungi glukosa dalam struktur kimianya. Tidak hairan jika ada bacaan dihasilkan ketika strip itu digunakan. Tetapi bacaannya tidak tepat dan tidak mewakili jumlah gula sebenar.

“Jadi, tidak kisahlah berapa biji limau kesturi yang diperah dalam air berkarbonat, bacaan glucometer tersebut tidak tepat dan tidak berkadar linear. Maksudnya, pengurangan bacaan glukosa sebenarnya tidak berkadar langsung dengan bilangan biji limau kesturi yang diperah.

“Jadi, mengambil limau kesturi tidak akan mengurangkan kandungan gula yang anda ambil. Jika anda mengambil tujuh sudu makan gula, maka tujuh sudu gula makan yang masuk ke dalam badan anda.

“Perbezaan bacaan yang anda perhatikan sebenarnya hanyalah disebabkan oleh kesilapan bacaan mesin glucometer, berdasarkan dua faktor yang dibincangkan di atas iaitu pH dan konfigurasi molekul,” terangnya panjang lebar.

Dr Che Puteh Osman.


Kesimpulannya, kita jangan mudah percaya atau mengikut sesuatu dakwaan yang tidak berasas dan tiada bukti saintifik. Dengarlah nasihat daripada pakar kerana mereka lebih arif. - KitaReporters

0
0
0
1
0

Copy Link: