BIla ABAH Bersuara| Bilalah masalah kesesakan lalu lintas berakhir? Tambah laluan LRT, MRT, monorel!
Published by
KESESAKAN lalu lintas di Kuala Lumpur bagai pakaian harian bagi warga kota. Saban hari mereka berhadapan masalah kesesakan, terutama pada waktu puncak.
Adakah fenomena ini terus menjadi ciri kehidupan seharian tanpa penyelesaian muktamad?
Sangat merimaskan
apabila setiap hari tersangkut apabila menuju ke tempat kerja atau pada waktu
balik, atau untuk menjalankan urusan peribadi. Kenderaan yang bertali arus
serta bergerak perlahan sehingga ‘bumper to bumper’ adalah pemandangan lumrah
saban hari.
Keadaan
lebih buruk di kawasan di mana terdapat projek pembinaan, membaiki atau menaik
taraf jalan. Ada lorong yang terpaksa ditutup bagi melancarkan kerja dan dalam
keadaan itu menambah teruk kesesakan di jalan yang memang sedia sesak.
Memandu dalam kesesakan memang sangat mencabar minda dan jiwa sehingga boleh menyebabkan stres. Namun apakan daya bagi warga kota, terpaksa juga ditempuh sebagai realiti kehidupan di sebuah bandar raya yang sentiasa sibuk sepanjang hari.
Walau pun dianggap
lali dengan keadaan ini, mereka tetap tertanya-tanya bilakah masalah ini akan
berakhir, atau tiada pengakhiran? Ini kerana masalah kesesakan lalu lintas
bukan baharu wujud tetapi sudah sejak sekian lama.
Pembangunan
pesat di ibu negara dan kedudukannya sebagai pusat ekonomi dan kewangan
menjadikan Kuala Lumpur tempat utama mencari rezeki. Penduduk kian bertambah yang
seterusnya menambah kesesakan kerana sebahagian besar mereka memiliki kenderaan
sendiri.
Pihak
berkuasa memang berusaha meminimumkan masalah kesesakan. Antara yang dilakukan
ialah membina jalan baharu, menaik taraf serta melebar jalan sedia ada, juga
membina laluan bertingkat-tingkat hingga ada yang dua atau tiga lapis.
Namun usaha
ini juga ada kekangan. Keluasan tanah yang terhad di ibu kota menyebabkan
pembinaan jalan baharu atau melebar jalan juga terhad. Tanah di ibu kota
diperlukan untuk banyak kegunaan lain.
Kadar
pertambahan kenderaan baharu yang begitu pantas di ibu kota juga merupakan satu
lagi faktor utama kesesakan meruncing. Saban hari, minggu, bulan dan tahun, ribuan kenderaan baharu didaftar.
Ini berbanding dengan pembinaan atau pelebaran jalan yang mengambil masa lebih lama untuk disiapkan. Kerana itu banyak mana pun jalan baharu dibina atau jalan dilebarkan, tidak dapat menandingi kepantasan pertambahan kenderaan.
Pilihan
yang ada bagi mengelakkan kesesakan ini ialah menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. Ketika ini pengangkutan awam utama ialah Transit
Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel, selain bas dan
teksi.
Kelebihan
sistem pengangkutan tren ialah ia mempunyai laluan sendiri, tidak terperangkap
dalam kesesakan lalu lintas. Jadual perjalanan lebih mudah dirancang.
Sebaliknya bas dan teksi kerap tersangkut sehingga sukar menentukan masa tiba ke
destinasi.
Sebagai
usaha mengatasi masalah ini, laluan khas bas diperkenal, antaranya di Ampang
dan Jalan Genting Klang. Dengan adanya laluan ini pergerakan bas lebih lancar. Malangnya
ramai pula pemandu kenderaan lain suka mencelah memasuki laluan ini.
Bagi
menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sistem pengangkutan
berkenaan mesti efisen serta meluas.
Contohnya LRT, MRT atau monorel. Kini ia hanya meliputi kawasan tertentu. Usaha
perlu dilakukan melebarkan perkhidmatan ini ke lebih banyak kawasan.
Laluan khas
bas juga perlu diperluas, terutama di kawasan yang dikenal pasti sentiasa
menghadapi masalah kesesakan. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu
kenderaan yang didapati menceroboh laluan berkenaan.
Jika sistem kenderaan lebih efisen, lebih ramai orang menggunakannya, meninggalkan kenderaan di rumah. Tidak perlu buang masa memandu dan mencari parkir. Langkah ini secara tidak langsung membantu mengatasi masalah kesesakan di ibu kota. - KitaReporters