Konsep rumah antibanjir! Pasang pelampung atau bina rumah tinggi! Mesra orang tua atau nampak cantik!
Published byKredit foto: FB Nur Shazareen Kamarozaman.
Sebut sahaja musim tengkujuh, pasti terbayang banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Terkadang-kadang banjir yang melanda sangat buruk dan sebaliknya. Namun, setiap tahun, pasukan keselamatan sentiasa siaga membantu mangsa-mangsa banjir.
Aturan atau hukum alam seperti ini bukanlah perkara baharu buat negara kita. Memandangkan negara kita mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, musim tengkujuh bukan satu yang pelik.
Rumah rakit darat berguna ketika musim banjir. - Kredit foto: FB Aziela Baharudin.
Persoalannya bagaimana kita terutama yang pernah atau kerap menjadi mangsa banjir kerana tinggal di kawasan rendah berakomodasi dengan cuaca sebegini.
Pernahkah anda membaca kisah seorang lelaki dari Kuala Lipis, Pahang, yang menjadikan rumahnya sebagai rakit atas darat?
Dia mengikat tong-tong plastik berwarna biru di bahagian bawah rumah dan apabila banjir, rumah tersebut bertukar menjadi rakit.
Walaupun pada mulanya ideanya itu ditertawakan oleh masyarakat sekeliling, tetapi dia berhasil membuktikan usahanya itu tidak sia-sia.
Rekaan rumah antibanjir mendapat permintaan tinggi di negeri yang sering dilanda banjir. -Kredit foto: TikTok Mahligai Bina Group.
Namun, ada juga
yang mempunyai peruntukan lebih, membina rumah yang dipanggil antibanjir.
Rumah ini dibina menggunakan tiang tinggi bagi mengelakkan air banjir masuk ke
dalam rumah. Rumah seperti ini sering menjadi pilihan penduduk Pantai Timur
yang kerap dilanda banjir.
Dalam TikTok sering dikongsi rekaan dan tempahan rumah sebegini yang diterima oleh kontraktor. Justeru, pelbagai pandangan dan permintaan daripada netizen.
Rekaan rumah tersebut sememangnya cantik dan antibanjir. Namun, ada juga netizen yang mendakwa rekaan rumah sebegini tidak mesra orang tua.
“Memang teringin
nak ada rumah macam ni. Tapi apabila fikir hari tua, susahnya nak jalan naik tinggi-tinggi gitu.
Lebih-lebih lagi duduk seorang diri,” tulis salah seorang netizen.
Bak kata orang
ramai, kalau ada duit semua masalah boleh diselesaikan. Contohnya rekaan rumah
ini dikatakan hanya antibanjir tetapi tidak mesra orang tua kerana tangga
terlalu tinggi. Tiada orang tua apatah lagi yang sudah uzur mampu naik tangga
setinggi itu.
Kalau anda ada peruntukan lebih, boleh sahaja bina lif.
Selain itu, apabila anda sudah tua nanti dan tidak larat lagi mendaki tangga, ruangan bawah rumah itu boleh ditambah dinding dan seterusnya dijadikan sebagai ruangan tingkat bawah atau split level.
“Aku punya
berangan, memang suka rekaan macam ni, rumah atas tapi nak letak lif untuk mak
ayah,” kata netizen yang lain.
Keputusan terletak di tangan anda. Pilih sahaja mahu yang antibanjir atau mesra orang tua. Apa yang penting, pastikan bajet cukup untuk memiliki rumah idaman seperti ini. - KitaReporters
Rekaan rumah split level yang lebih mesra orang tua. - Krediti foto: TikTok Mahligai Bina Group.