KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) penuh atau lockdown di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, 28 Mei 2021.

Katanya dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad.

“Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal,” ujarnya.

Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

"Malah, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

“Susulan keputusan yang dibuat, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan,” katanya.

Pengumuman mengenai bantuan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sehubungan itu rakyat dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

 

 

2
0
3
0
0

Copy Link: