Anda seorang ibu dan juga bapa? Jika ya, pasti anda akan terkejut dan tidak sangka dengan hasil kajian ini. Bagi anda yang masih belum memiliki anak, bolehlah menjadikan fakta ini sebagai ilmu untuk persediaan lebih awal pada kala sudah ada anak satu hari nanti. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan kanak-kanak:

https://kitareporters.com/search?search=kanak-kanak


Menurut sebuah laporan dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef)kanak-kanak lelaki dan perempuan pernah diminta untuk gambar lucah, dengan hanya sebilangan kecil memutuskan memaklumkan ibu bapa perkara itu.

Sebanyak 17.6 peratus pernah diminta menunjukkan gambar atau video bahagian sulit mereka melalui medium komunikasi dalam talian, manakala 22.8 peratus daripada mereka berkata pernah diminta berborak mengenai gerak geri seksual oleh seseorang dalam talian walaupun mereka enggan berbuat demikian.


Kajian dan laporan tersebut juga mendedahkan bahawa, kira-kira 65 peratus kanak-kanak yang terbabit dalam kajiannya di Asia Tenggara itu pernah menonton, membaca atau melihat pelbagai aksi dan kandungan berbentuk seksual tanpa pengetahuan dan bimbingan ibu bapa.

Manakala kira-kira 40 peratus kanak-kanak turut dilaporkan pernah diberi bahan seksual melalui akaun media sosial mereka dalam format berbentuk mesej, imej atau video seksual.

Kajian berkenaan dilakukan ke atas kanak-kanak dalam lingkungan umur 11 hingga 18 tahun di sekitar Malaysia, Indonesia, Thailand dan Kemboja. Ia melibatkan seramai 301 orang kanak-kanak keseluruhannya.


Hasil dapatan itu turut memaklumkan bahawa ramai kanak-kanak kerap menerima gambar yang tidak diminta dari lelaki dalam talian. Mereka juga turut menerima bahan-bahan tersebut daripada kanak-kanak lelaki yang dalam kumpulan umur sama, serta turut menerimanya daripada orang tidak dikenali dalam talian.

Lazimnya, perkara sebegini banyak terjadi ke atas remaja perempuan, namun menurut hasil kajian tersebut juga, terdapat ramai juga dalam kalangan lelaki yang turut menerima gambar-gambar tidak senonoh tanpa diminta khususnya melalui laman media sosial.  Tambah menjelekkan, ada dalam kalangan mereka ini yang kerap diminta untuk menghantar gambar peribadi kepada individu yang tidak dikenali melalui dalam talian.

Tambahan dari laporan kajian itu juga memaklumkan, terdapat 40 peratus daripada responden berkenaan mengaku masing-masing mempunyai pengalaman hitam (buruk) yang enggan mereka kongsikan kepada sesiapa, walaupun dalam suasana privasi.

"Dua daripada 5 orang melaporkan mereka mempunyai pengalaman buruk yang mereka tidak mahu berkongsi atau beritahu sesiapa pun,” ujar laporan itu.

Daripada jumlah tersebut, hanya sebahagian kecil sahaja yang berani dan sanggup menceritakan tentang pengalaman buruk mereka kepada ibu bapa, rakan sekolah atau mereka yang dipercayai.

Kembali Kepada Ajaran Rasulullah SAW


Sudah pasti bagi yang bergelar ibu dan ayah akan berasa terkejut dengan hasil kajian dan laporan yang dilakukan oleh pihak ketiga ini. 

Pada dasarnya, kita selaku ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak kita dari terjerumus ke lembah kehinaan, namun elok di depan mata tidak mencerminkan elok juga di belakang atau di luar pengetahuan ibu bapa.

Bagi memastikan perkara ini tidak terjadi kepada mereka yang tersayang, sebagai seorang yang beragama Islam, wajarlah untuk kita mencontohi cara Baginda Nabi Muhammad SAW dalam mendidik anak.

Antara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada ibu bapa dalam mendidi anak adalah dengan memperkenalkan anak kita tentang Tauhid.

Dalam Sya’bul Iman, juz 6, bil. 398 dari Ibn Abbas, Rasulullah SAW pernah bersabda, bahawa setiap ibu bapa harus memberikan pengetahuan tentang kalimah “Lailaha-illaallah” kepada anak-anak mereka di awal usia, sebelum mereka belajar atau kenal perkataan-perkataan lain di dunia ini. Biar kalimah ini dijadikan perkara pertama yang didengar ketika lahir, perkara pertama yang dia belajar, dan perkara terakhir yang dia ungkapkan semasa saat kematian menjelma.

Selain itu, Baginda juga menasihati ibu bapa agar dapat mengajar anak-anak kita tentang ilmu agama yang mendalam. Nabi Muhammad SAW juga mengajarkan ilmu agama kepada anak semenjak awal. Sebab jika anak tidak dididik agama sejak kecil, tidak mustahil mereka akan lebih cepat terpengaruh dengan dunia hiburan dan negatif serta terpengaruh dengan pergaulan tidak sihat. Ilmu agama ini adalah salah satu benteng untuk mereka dan kita sendiri terjerumus ke kancah yang tidak sepatutnya.

Antara satu lagi amalan yang Rasulullah SAW cuba tekankan adalah mengajak anak kita untuk turut bersolat lima waktu. Ini merupakan salah satu amalan yang paling dituntut dan ditekankan dalam agama Islam. Justeru, sebagai yang beragama Islam, kita perlu sendiri menjadi contoh ikutan kepada anak-anak kita dengan melaksanakan solat tepat pada waktu dan seeloknya dengan cara berjemaah. Jangan sekadar itu juga, sebagai ibu bapa kita wajib memastikan anak-anak kita turut bersolat apabila sampai waktunya.

Akhirnya, manusia yang paling baik untuk kita di dunia ini adalah kaum suami yang bersikap baik terhadap keluarganya sendiri. Dalam ramai-ramai suami baik berkenaan, telah dinyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah yang terbaik untuk kita contohi bersama.

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, Rasulullah Shallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.”  (HR.Tirmidzi).

Semoga kita semua dapat menjaga anak-anak kita dari terjebak kepada perkara-perkara tidak sepatutnya ini. - KitaReporters

0
0
7
0
4

Copy Link: