Pengoperasian Pusat Santuari Gajah Johor lewat dua tahun! Fasa dua terganggu kerana Covid-19!
Published byJalan masuk ke Pusat Santuari Gajah Johor (JES) di Kota Tinggi, Johor. - Kredit foto: jabatan Penerangan
PENGOPERASIAN sepenuhnya Pusat Santuari Gajah Johor (JES) di Kota Tinggi dijangka mengalami kelewatan selama dua tahun berikutan kerja-kerja fasa dua yang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual akibat pendemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, mengikut jadual asal, pusat santuari tersebut sepatutnya mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, namun situasi terkini negara sedikit sebanyak menganggu perlaksanaan fasa kedua, sekali gus melewatkan pengoperasiannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gajah
Pemandangan dari udara Pusat Santuari Gajah Johor (JES) di Kota Tinggi, Johor. - Kredit foto: WorldOrgs.com
“Kerja-kerja fasa pertama yang melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, kuarters pekerja, ‘paddock’, padang ragut, kawasan keliaran dan sistem pagar elektrik sudah dapat disiapkan sepenuhnya pada Oktober 2019 melibatkan kos RM8.9 juta.
“Namun kerja-kerja fasa kedua yang melibatkan pembangunan kemudahan ekopelancongan yang sudah dimulakan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual berikutan situasi terkini negara yang sedang dilanda pendemik Covid 19,” katanya.
Salman Saaban
Namun menurutnya, ketika ini operasi konservasi telah pun berjalan di mana seramai 13 kakitangan Perhilitan telah ditempatkan di santuari tersebut sejak Oktober 2020 lalu.
Salman berkata, santuari tersebut menyediakan enam ‘paddock’ untuk rawatan anak gajah yang ditinggalkan dan gajah-gajah yang perlukan rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
“Buat permulaan, lima ekor anak gajah berusia antara lima hingga enam tahun dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang akan ditempatkan di pusat santuari tersebut bagi tujuan membantu operasi menangkap dan menyelamatkan gajah selain sebagai tarikan ekopelancongan nanti.
Pemandangan menarik di salah satu kawasan di Pusat Santuari Gajah Johor (JES). - Kredit foto: WorldOrgs.com
“Memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan pusat santuari ini sebagai salah satu daya tarikan ekopelancongan bagi daerah Kota Tinggi,” katanya.
Menurutnya, apabila siap sepenuhnya nanti JES bukan sahaja mampu menangani konflik antara penduduk sekitar dengan gajah, malah bakal menjadi satu daya tarikan pelancongan di mana orang ramai akan berpeluang melihat mamalia tersebut secara dekat termasuk memberi makanan kepada haiwan tersebut. - KitaReporters
Gambar hiasan... Kakitangan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan membuat persiapan untuk memindahkan gajah liar yang ditangkap di Kampung Tenang, Labis, Johor.
Gambar hiasan... Salah seekor gajah liar yang berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan di Kampung Tenang, Labis, Johor.