Sebanyak 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara akan terlibat dalam program Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bagi memastikan ruang digital yang lebih selamata untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kementerian Komunikasi, dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan Internet.

"Kerajaan Madani akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia. 

"Dalam usaha ini, Kementerian Komunikasi telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya dalam satu kenyataan pada 11 Februari 2025.

Menurut kenyataan itu, kempen tersebut akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan Internet. 

"Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian," katanya lagi. 



Antara fokus utama kempen: 

  • Kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial (penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga). 
  • Meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia. 
  • Menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika. 

Kementerian Komunikasi memberitahu, sempena Sambutan Hari Keselamatan Internet pada 11 Februari 2025, kerajaan Madani juga ingin memaklumkan bahawa pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] telah diwartakan pada 7 Februari 2025 dan berkuat kuasa pada 11 Februari 2025. 

Pindaan ini akan menyediakan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada pengguna, sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga. 



Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada masanya. 

Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian, menurut kenyataan itu lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

18
9
0
9
0

Copy Link: