/


KERAJAAN akan memastikan nasib yang menimpa spesies Badak Sumatera tidak akan berlaku kepada Harimau Malaya kerana ia adalah khazanah dan aset negara yang perlu dipelihara serta dapat dinikmati generasi akan datang.

Pada tahun 2019, Badak Sumatera diisytiharkan pupus sepenuhnya di hutan Malaysia. "Iman" adalah Badak Sumatera terakhir dan haiwan kesayangan negara itu disahkan mati kerana menghidap kanser. Badannya diawet dan disimpan di muzium sebagai pameran untuk tatapan umum.

Populasi Harimau Malaya semakin merosot dan laporan WWF Malaysia setakat 2022, ada kira-kira 150 ekor, sebahagian besarnya kerana habitat haiwan itu terjejas akibat penggondolan hutan, pembesaran kawasan pertanian serta pemburuan yang berleluasa. 

Sulaiman Salikan (dua dari kiri) memberi tip bagaimana menggunakan teropong untuk melihat objek seperti burung dari jarak jauh.


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Harimau Malaya diklasifikasikan sangat terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Ini bermaksud spesies ini berisiko tinggi untuk pupus di habitat liar.

"Saya berharap melalui konservasi dalam memulihara dan memelihara sumber biologi negara, kita dapat menggembleng tenaga dari pelbagai sektor bagi memastikan spesies asal negara tidak mengalami akibat yang sama seperti kepupusan Badak Sumatera.

"Justeru, usaha ini perlu diteruskan semua lapisan masyarakat supaya aset semula jadi negara terpelihara dan dapat dinikmati generasi akan datang," katanya ketika merasmikan Karnival Konservasi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) 1.0 di IOI City Mall, Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. Ching Thoo Kim dan Timbalan Pengurus Besar, IOI City Mall, Wilfred Wong. 

Nik Nazmi terhibur dengan persembahan tarian dari Masyarakat Orang Asli selepas perasmian Karnival Konservasi NCTF 1.0 di IOI City Mall, Putrajaya.


Beliau berkata, hidupan liar itu 'dilindungi sepenuhnya' di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, dan diklasifikasikan sebagai Begitu Kritikal Terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN).

"Pemburuan haram masih menjadi faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan populasi spesies ini. Ia bukan sahaja membabitkan pemburuan harimau tetapi juga spesies yang menjadi mangsa mereka.

"Sepuluh tahun dahulu, pemburuan Harimau Malaya secara perangkap haram boleh dikatakan agak terpencil, tetapi sejak itu ribuan perangkap dikesan di hutan kita. Ini amat menyedihkan kerana mereka hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan kepada negara. 

"Justeru, beberapa langkah drastik diambil bagi pemuliharaan hidupan liar dan Harimau Malaya dalam tempoh beberapa tahun lalu, antaranya penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Harimau Malaya pertama, dengan tujuan menggariskan strategi bagi memelihara spesies itu," katanya.


Nik Nazmi (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah satu pempamer yang mengambil bahagian di Karnival Konservasi NCTF 1.0 di IOI City Mall, Putrajaya.


Nik Nazmi berkata, usaha itu disokong oleh dua inisiatif utama iaitu Operasi Bersepadu Khazanah dan program renjer komuniti, kedua-duanya bertujuan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di dalam dan sekitar habitat hidupan liar.  

"Operasi Bersepadu Khazanah, yang diketuai Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut membabitkan penyertaan pelbagai agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Program renjer komuniti diketuai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dengan sokongan NGO dan kerajaan. Ia membabitkan lebih 1,000 peronda termasuk anggota komuniti Orang Asli, penduduk tempatan dan veteran tentera bertujuan melindungi habitat hidupan liar.

"PDRM juga menubuhkan Biro Jenayah Hidupan Liar, dan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar pada 2022 dengan memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah hidupan liar," katanya lagi.


Nik Nazmi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Mencanting Batik.


Sementara itu, beliau gembira Karnival Konservasi NCTF 1.0 dapat diadakan buat julung kalinya atas usaha Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF).

"Saya dimaklumkan sehingga kini, NCTF membiayai 112 projek konservasi dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM21.49 juta meliputi enam kategori konservasi iaitu flora; fauna; marin dan ekosistem; ekosistem air tawar; gua dan batu kapur serta komuniti Orang Asal dan Orang Asli.

"Melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030, kerajaan berharap dapat meningkat jumlah kanak-kanak dan remaja menyertai aktiviti konservasi biodiversiti. Alhamdulillah, karnival ini turut disertai pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Perhutanan (ForTrain)," katanya. 


Pempengaruh, Abang Ikan (dua dari kiri) turut berkongsi cerita mengenai Ikan Air Tawar Endemik Semenanjung Malaysia dan Kepentingan Konservasi.  


Beliau mengakui, pembangunan pesat pembinaan kawasan perumahan dan perindustrian, perbandaran, dan infrastruktur memberi tekanan kepada sumber asli negara dengan banyak spesies diancam kepupusan.

Justeru, katanya peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat kepentingan melindungi biodiversiti negara amat penting. Melalui karnival itu, pihaknya berharap dapat membawa mesej kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan memulihara sumber asli dan alam sekitar.

"Menjelang 2030, Malaysia menyasarkan peranan Orang Asli, masyarakat setempat, orang awam, sektor swasta dan ahli akademik dalam konservasi biodiversiti. 

"Oleh itu, NCTF membuka peluang kepada ahli akademik, NGO, swasta dan agensi kerajaan untuk menjalankan kajian-kajian konservasi biodiversiti negara," katanya. - KitaReporters


Ismail Mamat menyampaikan Pocket Talk bertajuk, Tinjauan Burung: Taman Negeri dan Hutan Simpan Semenanjung Malaysia.

14
15
0
11
0

Copy Link: