KEPUTUSAN sama ada Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan dibincangkan pada esok, Jumaat 21 Mei 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 di Putrajaya.

Beliau berkata mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 3 petang Jumaat itu akan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Katanya, PKP penuh antara langkah yang perlu difikirkan oleh MKN.

"Akan dibincangkan untuk diputuskan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis, 20 Mei 2021.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Pusat melihat penularan Covid-19 adalah satu perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik dan jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta.


KEADAAN pusat kuarantin di MAEPS yang semakin penuh berikutan pertambahan kes dari semasa ke semasa. - Kredit foto: Berita Harian


"Manakala kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita merasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Tegas beliau selama ini kerajaan mengambil langkah dengan mengadakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sama ada secara keseluruhan atau bersasar bergantung kepada keadaan untuk mengekang penularan Covid-19. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

2
1
2
0
0

Copy Link: