Salah seekor induk landak raya milik Ali Daud.


SELAIN nilai komesial, beberapa spesis haiwan liar seperti landak, kancil dan kijang turut diancam kepupusan dan faktor tersebut mendorong seorang warga emas di Kampung Tenang, Labis untuk menternak haiwan-haiwan tersebut.

Ali Daud, 70, berkata, dia nekad melaburkan sebanyak RM25,000 wang simpanannya sebagai modal untuk membina reban dan mendapatkan induk baka landak raya pada tahun 2016 selepas permohonan mendapatkan permit memelihara landak diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan haiwan pelihara

Ali Daud menunjukkan salah seekor anak landak raya peliharaannya.


“Saya bermula dengan beberapa induk landak yang dibeli dengan harga RM800 hingga RM1,000 setiap ekor dari Selangor ketika itu, kini jumlahnya semakin bertambah dan dia hanya mengekalkan sekitar 20 ekor pada satu-satu masa di mana selebihnya akan dijual sebagai induk baka bagi memastikan kandang sedia ada tidak sesak.

“Saya tidak menjual landak peliharaan saya sebagai bekalan daging kerana permit yang saya perolehi hanyalah untuk pembiakan baka sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Tenang, Labis.


Ali Daud sedang menyediakan buah-buahan dan keledek untuk diberi sebagai makanan landak peliharaannya,  


Katanya, kerana minat dengan haiwan liar, pada tahun 2017, dia memohon permit untuk menangkap kancil pula dan bernasib baik permohonan tersebut diluluskan oleh Perhilitan Melaka dan Pahang pada awal tahun 2018. 

Dia tidak menoleh ke belakang  lagi dan sanggup berulang alik ke hutan di sekitar Felda Selancar yang terletak di negeri Pahang  sejauh kira-kira 60 kilometer dari rumahnya untuk memasang perangkap jatuh untuk menangkap kancil.

Katanya, dia bernasib baik kerana dalam tempoh lima bulan berulang alik memasang perangkap jatuh dia berjaya menangkap lima ekor kancil masing-masing dua ekor jantan dan tiga ekor betina yang dijadikan baka awal sehingga hari ini.


Salah seekor kancil yang berjaya dijinakkan oleh Ali Daud.


Menurutnya, usaha menangkap kancil tidak mudah dan memerlukan kesabaran tinggi kerana kancil begitu sensitif dengan bau terutama bau manusia dan biasanya perangkap akan hanya dijengah oleh kancil selepas seminggu dipasang setelah bau manusia semakin berkurangan.

Selepas  berjaya menangkap kancil, dia terpaksa pula memohon lesen untuk memelihara dan diluluskan oleh pihak Perhilitan yang menjadi titik tolak usahanya untuk menternak kancil yang sudah tertambah kepada sembilan ekor ketika ini.

Pembiakan kancil agak lambat kerana lazimnya kancil hanya beranak seekor dalam satu masa dan bunting hanya dua kali setahun sahaja.

“Dari aspek penjagaan pula kancil begitu sensitif dan memerlukan persekitaran yang hampir serupa habitat asalnya selain gemar  memakan pucuk kayu tertentu sahaja seperti pucuk kayu lemaya serta buah-buahan’” katanya.


Ali Daud bersama salah seekor kancil liar yang berjaya dijinakkannya di Kampung Tenang, Labis.


Untuk menjinakkan kancil, pada peringkat awal dia terpaksa mengurung haiwan tersebut di tempat yang gelap selama berminggu lamanya sebelum haiwan liar itu boleh menyesuaikan diri di tempat baharu.

Setakat ini katanya, dia tidak menjual kancil yang diternaknya kerana tidak mempunya permit untuk menjual haiwan tersebut sama ada untuk pembiakan baka mahu pun dagingnya.

Dia mengakui berasa puas dan tenang setiap kali melihat keletah haiwan liar yang berjaya dijinakkannya dan dalam masa sama turut menerima kunjungan orang ramai yang berhasrat melihat haiwan liar tersebut dengan lebih dekat.

Memandangkan komitmen memelihara dan menjinakkan haiwan yang dilindungi itu, pihak Perhilitan telah memberi peluang kepadanya untuk menternak kijang pula sejak dua bulan lalu.

“Perhilitan bukan sahaja meluluskan permohonan permit memelihara kijang, malah turut membekalkan empat ekor kijang di mana seekor jantan dan tiga ekor betina dari Pusat Pembiakan Kijang Banggas yang dimiliki Perhilitan.

“Saya merupakan satu-satunya orang awam yang diberi peluang untuk memelihara kijang dan akan menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin untuk membiakkan baka kijang tempatan ini,” katanya.


Ali Daud menunjukkan pucuk kayu lemaya yang menjadi kegemaran kancil.


Untuk  tujuan itu, dia membelanjakan kira-kira RM4,000 lagi untuk membina kandang yang menyerupai habitat asal haiwan tersebut bagi memastikan keselesaanya dan boleh membiak.

Katanya, berbanding kancil, kijang lebih agresif dan agak sukar dijinakkan.

Dari segi pemakanan pula selain memberi pucuk kayu spesis tertentu, dia turut memberi kijang peliharaannya  lobak, keledek, sengkuang dan buah-buahan.

“Dengan kerjasama serta tunjuk ajar Jabatan Perhilitan, setakat ini saya tidak berdepan banyak masalah dan semua haiwan yang dipelihara termasuk kijang, sihat selain tidak pernah diserang sebarang penyakit.

“Saya harap usaha ini bukan sahaja dapat memastikan haiwan ini tidak pupus, tapi dapat memberi peluang kepada generasi muda melihat serta menyemai sifat sayang kepada binatang khususnya haiwan yang diancam kepupusan,” katanya. - KitaReporters


Salah seekor kijang spesis tempatan peliharaan Ali Daud yang masih dalam proses dijinakkan.

17
0
0
0
0

Copy Link: