Video| Terima kasih PM! Pengurangan tol di enam lebuh raya! AKLEH, GCE, LKSA, SILK, LEKAS, Besraya!
Published byPERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengurangan kadar tol bagi empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta dua syarikat konsesi di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad melalui usaha penstrukturan semula.
"Sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup, Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.
"Lebuh raya terbabit ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang– KL (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
"Ia akan berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.
"Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023," kata beliau pada Majlis Pembukaan Rasmi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Shah Alam, Selangor pada Khamis, 13 Oktober 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan prasarana lebuh raya
Sempena pelancaran, Perdana Menteri turut mengumumkan penggunaan lebuh raya DASH ini secara percuma atau tanpa dikenakan bayaran tol bagi tempoh selama sebulan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober 2022.
Selain itu, katanya, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.
"Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di lebuh raya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
"Kesemua kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
"Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.
"Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup," kata Ismail sabri lagi. - KitaReporters
Teks ucapan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, sempena Majlis Pembukaan Rasmi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis, 13 Oktober 2022 di Plaza Tol Denai Alam :
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Pembukaan Rasmi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) hari ini.
2. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) kerana mengundang saya untuk merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Shah Alam.
3. Saya berasa amat berbangga apabila melihat banyak projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya DASH menjadi satu realiti kerana ia bakal memberi kemudahan dan juga manfaat kepada Keluarga Malaysia.
4. Projek Lebuhraya DASH ini merupakan salah satu daripada 53 buah projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju.
5. Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sejumlah 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.
6. Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lepas, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.
7. Tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama satu jam 30 minit.
8. Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
9. Untuk makluman, pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
10. Lebuhraya DASH juga memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’. Tahniah saya ucapkan!
11. Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling.
12. Pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya.
13. Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.
14. Justeru, Kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara, sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta (Public Private Partnership atau - PPP) antara pihak PROLINTAS dan Kerajaan.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
15. Sempena pelancaran lebuh raya ini, saya ingin mengumumkan penggunaannya secara percuma atau tanpa dikenakan bayaran tol bagi tempoh selama sebulan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober 2022.
16. Sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup, Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.
17. Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK). Ia akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.
18. Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.
19. Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.
20. Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
21. Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambilkira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
22. Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.
23. Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup.
24. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PROLINTAS dan semua pihak yang terlibat menjayakan pelaksanaan Projek Lebuh Raya DASH.
25. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menasihati pengguna lebuh raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan dan sentiasa memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik.