LEBIH setengah juta Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan sasaran yang dikenal pasti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini berpeluang memasuki pasaran pekerjaan selepas menjalani latihan kemahiran digital berikutan pembangunan teknologi di Malaysia yang kembali pesat pasca-Covid-19 dan memberi impak ketara kepada pasaran kerja.

Meramaikan tenaga kerja berkemahiran di bidang itu bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap tenaga kerja digital dengan pemahaman tersedia terhadap teknologi digital atau kemahiran asas digital yang boleh dipindah guna. 

Peluang latihan ini boleh diteroka  oleh sumber tenaga yang lebih inklusif khususnya kepada golongan yang selama ini dianggap masyarakat minoriti dan terpinggir serta Orang Berkelainan Upaya (OKU).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program latihan

Pengarah Strategi dan Inovasi airasia academy, Dr. Ram Gopal Raj (kanan sekali) bersama peserta OKU program biasiswa Yayasan Peneraju.


Sehubungan dengan itu, Airasia Academy  membuka peluang kepada  warga OKU dan masyarakat minoriti untuk menjalani latihan teknologi digital berakreditasi menerusi program latihan pengajar diterajui atau Instructor-Led Training (ILT) dan pembelajaran fleksibel On-Demand Learning (ODL). 

"Kesedaran meningkatkan kemahiran atau memahirkan semula warga OKU dalam bidang digital yang masih rendah ini memacu misi Kesedaran akademi ini untuk meningkatkan pembabitan mereka dalam program yang akan dibangunkan bersama dengan pakar di bidang teknologi. 

"Mereka akan dilatih bersama oleh tenaga pengajar berpengalaman dengan sokongan kerajaan dan agensi-agensinya," kata jurucakap Airasia Academy dalam satu kenyataan ketika membuka tawaran berkenaan.

Berdasarkan statistik OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 633,653 OKU berdaftar di seluruh negara. Jumlah itu mewakili potensi sumber manusia yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri tempatan dan serantau sebagai persiapan ke arah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).  

“Revolusi Industri 4.0 akan memperkasakan kami yang berkelainan upaya,” kata Birgit Skarstein, Atlet Paralimpik dua kali dan Juara Rowing Dunia dari Norway



Sebagai penyedia teknologi pendidikan, kepimpinan dan inovasi sehenti, Airasia Academy komited dalam meningkatkan dan memahirkan semula tenaga kerja negara menerusi latihan teknologi dan lain-lain untuk merapatkan jurang bakat ekoran permintaan yang kian melonjak.

Dengan mementingkan aspek inklusif, mudah diakses dan mampu milik, Airasia Academy memberi peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang termasuk golongan minoriti berstigma seperti OKU. 

Ini supaya mereka dapat mengakses ekosistem e-pembelajaran bagi mengikuti kursus-kursus digital dan meningkatkan peluang mereka di pasaran kerja.

Program ILT membuka peluang saksama kepada OKU dengan sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Peneraju dan Majlis Belia OKU (MBOKU). 

Program biasiswa penuh ini bukan sahaja membantu warga OKU malah wanita dari kumpulan B40, ibu atau bapa tunggal, graduan universiti dan golongan penganggur untuk meningkatkan kemahiran atau melatih semula diri menerusi kursus Analisis Data, Pemasaran Digital, Kejuruteraan Perisian, Infrastruktur Awam dan Keselamatan Siber.



Sementara itu, Adam Ikmal Zarin Ikmal, 26, (gambar atas) mempunyai masalah pertuturan selepas dua kali diserang angin ahmar. Adam mengalami kelumpuhan di kedua-dua belah badan akibat darah beku pada bahagian kiri dan kanan otak menyebabkan komplikasi fizikal, penglihatan dan pertuturan.

Setelah menjalani sesi rawatan pemulihan selama berbulan-bulan berbekalkan keazaman jitu, Adam kini mampu mengembalikan fungsi fizikalnya melalui rutin berkala.

Kehidupan Adam kini melibatkan latihan terapi pertuturan di hadapan cermin dan bekerja sehingga lewat malam sebagai pemandu Airasia Ride. 

Walaupun masih bergelut dalam pertuturan, Adam meneruskan kehidupan dengan membuat sesuatu yang digemari iaitu mengenali dan membantu orang di sekeliling melalui pekerjaannya. 

Sewaktu bertugas, Adam diberi kesempatan membawa Presiden (Pelaburan & Usahaniaga) Capital A, Aireen Omar sebagai penumpang. Pertemuan itu menjadi titik tolak kepada tekadnya untuk menguasai kemahiran teknologi digital.


Maizan Nordin turut menjalani latihan industri yang kian mendapat permintaan tinggi. 


Manakala, bagi Maizan Nordin, 29, pula, semakin banyak kemudahan yang boleh diakses secara dalam talian, semakin tinggi tarikan data analisis dalam industri perkhidmatan kepadanya. 

Beliau merupakan antara pelajar contoh Airasia Academy yang juga mengikuti kursus Analisis Data tajaan Yayasan Peneraju. 

Anak jati Selangor ini dilahirkan dengan Spina Bifida, satu kondisi yang memberi kesan kepada tulang belakang. Sejenis penyakit yang menjejas pergerakan kaki, dan dalam kebanyakan kes, sehingga membawa kepada kelumpuhan.

Seorang anggota aktif Majlis Belia OKU (MBOKU), Maizan mendapat tahu tentang kursus yang ditawarkan oleh Airasia Academy dengan usaha sama Yayasan Peneraju dalam Facebook MBOKU. - KitaReporters


12
14
0
14
0

Copy Link: