Apa tu fajar sidiq? Garis kuning di langit tanda masuk waktu subuh dalam pesawat! Kongsi pengalaman!

Published by
KitaReporters


Semua orang beragama Islam tahu solat itu tiang agama. Tiada tiang, maka runtuhlah agama itu. Ini menunjukkan betapa pentingnya mendirikan solat lima waktu! 

Kalau anda tidak boleh berdiri, maka solat duduk. Kalau tidak boleh duduk dan berdiri, maka solat baring. Kalau tidak boleh juga, cukup dengan isyarat mata dan akhir sekali dalam hati. Lihat, betapa pentingnya solat tidak kira situasi apa pun yang anda sedang lalui.

Selain itu, solat juga wajib didirikan tidak kita di mana anda berada. Sama ada anda berada di dalam kereta api, kapal atau kapal terbang, saat masuk waktu, dirikanlah ia sebelum habis waktu. 

Kalau anda musafir, maka boleh lakukan solat jamak kecuali subuh.




Bagaimana cara untuk solat dalam kenderaan yang sedang bergerak, anda boleh belajar atau rujuk dalam mana-mana buku solat atau Internet. 

Pada zaman kini, tidak susah kerana semua maklumat ada di hujung jari. Dalam Youtube atau media sosial misalnya, banyak ceramah para pendakwah berkongsi ilmu tentangnya.

Justeru, perkongsian seorang wanita mengenai tanda-tanda masuknya waktu solat subuh dalam pesawat menarik perhatian ramai. Yelah, dalam pesawat yang merentas negeri, negara atau benua, pasti waktu solatnya berbeza.

Pelbagai cara kita boleh tentukan masuknya waktu solat ketika berada di dalam pesawat. Anda boleh rujuk dalam Internet maklumat ini. 

Berkenaan tanda-tanda masuk waktu solat subuh yang dikongsi oleh wanita ini ialah garis kuning di langit. Dia berpeluang menyaksikan dengan mata sendiri kebesaran Allah SWT itu ketika berada di dalam pesawat.



“Kalau naik penerbangan tengah malam yang kena solat subuh dalam pesawat, ada banyak cara nak tentukan masuk waktu solat. Antaranya tengok pada cahaya matahari di langit. Waktu subuh ni, matahari belum terbit, tapi cahaya sudah muncul dulu. Istilahnya ialah first light. Apabila cahaya ini sudah muncul, maknanya waktu subuh sudah masuk. Apabila matahari sudah terbit, sudah nampak lengkungan bulat matahari itu, makanya waktu subuh sudah habis,” tulisnya sambal berkongsi gambar-gambar garis kuning di langit yang begitu cantik.



Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang turut sama takjub dengan keindahan itu. Tidak kurang juga mengaku mereka baru tahu tentang hal tersebut. 

“Wah, masya-Allah cantiknya! Terima kasih tolong tangkapkan gambar. Dapat juga saya tengok walaupun tak pernah naik kapal terbang,” tulis salah seorang netizen.

Malah ada netizen yang tahu tentangnya turut berkongsi ilmu. Menurutnya garis kuning di langit itulah yang dipanggil fajar sidiq yang dipelajarinya ketika di bangku sekolah.

Bagi yang masih belum tahu, fajar sidiq muncul dan menandakan masuknya waktu solat subuh dan berpuasa (sunat atau wajib). Cahayanya memancar melintang dari utara ke selatan dan tidak akan hilang malahan cahayanya makin bertambah (hari semakin cerah).

“Oh ini rupanya terbit fajar sadiq,” tulisnya ringkas. - KitaReporters



11
16
0
6
0

Copy Link: