PERTANIAN merupakan salah satu pekerjaan penduduk Malaysia sejak dari dahulu lagi. Sebelum revolusi demi revolusi muncul, pertanian merupakan aktiviti paling sibuk rakyat negara ini. Walaupun negara kita telah berubah menjadi sebuah negara berevolusikan industri data dan alam maya, namun sektor pertanian masih tidak ditinggalkan oleh pucuk pimpinan negara dan sebahagian dari rakyat negara ini. : KitaReporters



Lagi laporan-laporan berkaitan pertanian:

https://kitareporters.com/search?search=pertanian


Masih wujud Kementerian Pertanian hingga sekarang, juga masih ramai yang menjadikan sektor pertanian sebagai mata pencarian mereka. 

Namun, pertanian pada masa ini tidak boleh berada pada takuk yang lama. Ia perlu mengikut arus kemodenan zaman dengan melakukan gerakan asimilasi antara pertanian dengan perkembangan teknologi terkini. 

Sebagai contoh penggunaan alat kawalan jauh berteknologi tinggi seperti dron dalam proses pertanian rakyat negara ini. 




Percayakah anda, dron bukan sahaja digunakan untuk mengambil gambar atau video seperti fungsi awalnya dahulu? Sebaliknya, dron sekarang ini telah dikembangkan peranan hingga menjadi 'pembantu' kepada si petani.

Antara enam fungsi dron yang terkini dalam mengupayakan lagi hasil pertanian adalah seperti pemetaan ladang, perancangan gunapakai tanah ladang, penyemburan air, baja dan racun perosak, pemeriksaan kesihatan tanaman dan ladang, pengawasan ladang dan pembinaan database ladang untuk analisa data.

Seperti sektor-sektor pekerjaan lain juga, sektor pertanian turut memerlukan sebuah anjakan paradigma yang selari dengan peredaran zaman agar ia tidak ketinggalan dan merugikan banyak pihak.

Justeru, dengan penggunaan pelbagai fungsi dron ini ia sekali gus membentuk sebuah istilah 'pertanian pintar' yang bermotifkan peningkatan hasil, pengurangan guna tenaga manusia dan pengecilan risiko berbahaya. 



Sebagai contoh dalam kaedah pemetaan ladang, para petani sudah tidak perlu lagi bersusah payah berbanting tulang di tengah panas untuk mengukur sesebuah ladang secara manual. Mereka hanya perlu mahir menggunakan dron dan mengukur atau membuat pemetaan terhadap ladang hanya dari jauh atau berada di satu tempat sahaja.

Perancangan guna pakai tanah ladang juga lebih mudah apabila survei ke atas tanah yang ingin diterokai hanya dengan menerbangkan sebiji dron sahaja, berbanding amalan sebelum ini memaksa tenaga manusia melakukannya dalam jangka masa berhari-hari. Bukankah ia perlu mengambil masa yang panjang, tenaga yang banyak dan risiko binatang buas yang tidak diketahui?

Kaedah semburan air juga sekarang ini boleh menggunakan dron sebagai alat mengangkat air ke tanaman, tidak perlu lagi bersusah payah petani itu mengangkat baldi atau tong air ke setiap inci kawasan pertanian miliknya. Begitu juga untuk semburan baja dan racun perosak, hanya dengan 'remote control' semuanya akan dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah.

Di samping pemeriksaan kesihatan dan pengawasan tanaman serta ladang, dron juga digunakan untuk pembinaan database (pangkalan data) ladang untuk analisis data. Ini merupakan salah satu perkara terpenting sebagai seorang pengusaha bidang pertanian.

Data yang tepat dan cepat amat membantu produktiviti pertanian yang diperlukan. Jika amalan lama masih diguna pakai, agak sukar untuk para petani mengumpul data asas ladang yang tepat untuk dianalisis.

Setelah setiap data yang diperoleh dianalisis, ia bukan sahaja mampu memudahkan urusan mencari penawar kepada sakit atau virus pertanian, malah ia juga banyak membantu dalam urusan inovasi produk atau industri asas tani berkenaan. 



Inilah dunia canggih yang sedang kita mengorak langkah dalam kehidupan normal setiap hari. Seperti yang kerajaan uar-uarkan, kehidupan kita sekarang ini sedang bergerak ke peringkat Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0 meninggalkan industri terdahulu.

Justeru, sektor pertanian juga perlu seiring dalam mengejar perkembangan teknologi di dalam IR 4.0 ini. Antara yang cukup ideal dengan sektor pertanian adalah penggunaan dron dalam bidang pertanian dan industri asas tani di negara ini.

Semoga suatu hari nanti kita tidak lagi hairan melihat dron-dron banyak berterbangan di kawasan pertanian, seperti burung pada pagi hari keluar sarang mencari makanan. Ia tanda bagaimana sektor pertanian meraikan kepesatan teknologi dalam IR4.0.

Cuma, kerajaan perlu meneliti kembali beberapa terma dan syarat penggunaan dron masa kini yang mungkin masih belum 'mesra' penggunaan secara meluas dan bebas. - KitaReporters


1
0
0
1
0

Copy Link: