SEKURANG-KURANGNYA RM5 bilion telah dibelanjakan oleh negara ini untuk memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK berjaya direalisasikan dengan sehabis baik.

Jumlah ini pastinya akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan permintaan ramai.

Namun agak mengecewakan apabila pada 24 Mei 2021 media melaporkan bahawa, terdapat seramai hampir 10,000 penduduk di Negeri Kelantan yang rata-rata berusia 60 tahun ke atas gagal menerima vaksin COVID-19 sehingga 23 Mei 2021. 

Manakala sebab menukar fikiran pada saat-saat akhir antara salah satu punca hampir 11,000 daripada 30,100 individu dikesan tidak hadir terima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah antara tempoh 19 April hingga 22 Mei 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan vaksin COVID-19



Menurut cerita, kegagalan mereka untuk hadir seperti janji temu yang telah ditetapkan adalah kerana mengalami masalah kesihatan dan mahu menunda ke tarikh yang lain.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, antara sebab lain adalah kerana masalah peribadi dan ada juga yang tidak memberi sebarang maklum balas kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Semua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin ini adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua. Bila dapat senarai sehari atau dua hari sebelum, kami akan menghubungi setiap orang sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, bukan 100 peratus kita dapat hubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar dalam aplikasi MySejahtera dan ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan," katanya.



Selain daripada menyukarkan proses vaksinasi yang telah dirancang, tindakan mereka yang tidak muncul pada tarikh, masa dan tempat dijanjikan boleh membantutkan garis masa perancangan kita untuk mencipta imuniti kelompok.

Negara kita sedang berusaha keras untuk membentuk imuniti kelompok pada penghujung tahun 2021 dengan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus dari populasi Malaysia telah berjaya dicucuk vaksin.

Kedua, tindakan gagal mengikut janji temu ini akan menganggu sasaran PICK dan kelancaran pemberian vaksin kepada individu lain. Ini kerana setiap hari Jabatan Kesihatan Negeri melalui PPV sudah menyediakan plan harian untuk jumlah vaksinasi.

Ketiga, mereka yang gagal untuk menerima vaksin mengikut perancangan akan berhadapan dengan risiko lebih serius, termasuklah bagi mereka yang menerima dos kedua.

Keempat, keadaan ini akan menyebabkan pembaziran dos vaksin kerana setiap dos itu mempunyai jangka hayat yang pendek


Kredit foto: rsprespira.jogjaprov.go.id


Mungkin ramai yang tidak tahu kadar sensitiviti dos vaksin ini cukup tinggi. Setiap dos vaksin perlu disimpan rapi dan selamat di dalam keadaan suhu yang sangat rendah. Ia tidak boleh terdedah kepada cuaca panas atau sinaran matahari terik.

Oleh sebab itu, mana-mana vaksin yang telah terdedah dengan begitu lama pada suhu bilik, ia akan mengalami terdegradasi atau kerosakan pada vaksin tersebut.

Setiap vaksin yang telah dikeluarkan dari peti simpanan suhu rendah tidak boleh disimpan semula pada suhu rendah bagi tempoh tertentu.

Sebagai contoh, bagi vaksin jenis Pfizer-BioNTech, setiap bebulinya memerlukan enam orang untuk disuntik. Sekiranya seorang tidak hadir, maka sudah tentu ia menyusahkan lima orang yang lain yang mahu disuntik pada hari berkenaan.

Sekiranya ada pengganti untuk disuntik mungkin ia boleh diselamatkan, namun jika tidak, vaksin tersebut akan rugi dan rosak begitu sahaja.

Justeru masyarakat kita terutama di pendalaman harus diberi penerangan yang lebih meluas dan tepat akan kepentingan dan risiko tidak mengambil vaksin ini.

Supaya negara kita dapat membentuk imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini dan kerugian besar dapat dihindari bersama. - Kitareporters


Kredit foto: Twitter JKJAVMY

1
0
0
0
0

Copy Link: