Teknologi digital sedang memperalat manusia? Boleh ancam diri dan keamanan sejagat! - Ismail Sabri
Published by
KitaReporters
--title--
Masyarakat antarabangsa memerlukan badan urus tadbir teknologi digital yang memberikan garis panduan dan menguat kuasa undang-undang agar ia tidak mengancam keamanan dunia.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inovasi yang berkembang pesat di seluruh dunia, menyebabkan manusia bergantung kepada teknologi digital sehingga wujud kebimbangan ia bukan lagi sebagai satu alat tetapi ia sedang memperalat manusia.
Beliau berkata, pada masa kini, dunia kekurangan institusi atau perundangan pada peringkat antarabangsa untuk memastikan teknologi digital tidak merosakkan manusia.
"Kerajaan, syarikat teknologi, penyelidik dan masyarakat sivil perlu duduk bersama berbincang untuk menyediakan ruang siber yang selamat.
"Data raya (big data) merupakan tren masa kini. Analisis sentimen awam terhadap data besar dapat membantu untuk membuat keputusan yang berkesan.
"Komunikasi strategik amat diperlukan untuk menyampaikan mesej keamanan kepada lebih ramai orang atau berbeza kelompok individu melalui pelbagai platform digital berdasarkan data-data yang dianalisis.
"Tindakan segera perlu diambil bagi menangani kesan negatif daripada teknologi digital," katanya ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk Pendigital Keluarga Dunia Untuk Keamanan Sejagat di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) di Bangkok pada 28 Ogos 2023.
Ismail Sabri berkata, manusia secara tidak sedar mereka sedang diperalat oleh teknologi digital sehingga mengancam keamanan sejagat.
"Pertama, teknologi digital umpama penggalak kepada manusia yang meningkatkan dopamin dengan rasa keterujaan berlebihan dan menyebabkan ketagihan.
"Kedua, mempengaruhi cara manusia untuk menilai dengan membina gelembung tapisan (filter bubbles) bersama rakan yang mempunyai minat sama sahaja (homophily). Sebagai contoh, Facebook atau Instagram hanya memaparkan bahan di ‘wall’ berdasarkan carian atau tanda ‘like’ pengguna.
"Ketiga, mengubah cara untuk membina identiti diri seperti kemurungan, polarisasi politik dan peningkatan konflik antara peribadi," katanya.
Tambahnya, usaha perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan teknologi digital digunakan bagi mempromosikan keamanan sejagat. - KitaReporters/Kenyataan Media
6
15
0
14
0