Gara-gara kura-kura melintas di landasan kapal terbang! 5 penerbangan kena ditangguh 15 minit!
Published byKredit foto: Airlive.net
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Narita di timur Tokyo, Jepun terpaksa menutup operasinya termasuk menunda lima penerbangan udara selama 15 minit apabila seekor kura-kura seberat 2.1 kilogram melintas di landasan kapal terbang lapangan tersebut pada Jumaat, 24 September 2021 lalu.
Berikutan dengan kejadian itu, petugas telah menyelamatkan haiwan sepanjang 30 sentimeter itu dari landasan berkenaan untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan haiwan
KURA-KURA ini yang melintas di landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 24 September 2021. - Kredit foto: USAToday
Sebelum itu, memetik media The Mainichi melaporkan pada Isnin 27 September 2021, seorang juruterbang yang memandu sebuah pesawat yang hendak berlepas di landasan sepanjang 4,000 meter itu telah memaklumkan kepada pengawal trafik udara tentang kehadiran haiwan tersebut yang sedang berjalan-jalan di landasan pada kira-kira 11.35 pagi waktu tempatan.
``Saya baharu sahaja mendapat khabar bahawa seekor kura-kura telah menganggu landasan kapal terbang yang menjadi laluan kami untuk berlepas, jadi kami terpaksa berhenti buat sementara,’’ kata seorang juruterbang pesawat.
Serentak dengan itu, pesawat Airbus, A380 milik syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) yang bersiap sedia hendak berlepas itu terpaksa menangguhkan jadual penerbangannya selama 15 minit akibat kura-kura tersebut.
Pesawat berkenaan yang memaparkan gambar penyu pada badan pesawat itu biasanya digunakan untuk penerbangan dari Jepun ke Hawaii. Namun pernerbangan ke destinasi Hawaii itu telah diubah ke lokasi lain akibat pandemik Covid-19 sejak tahun 2020.
PESAWAT A380 milik ANA adalah salah satu daripada lima penerbangan udara yang terpaksa ditunda 15 minit jadual penerbangannya akibat seekor kura-kura yang melintas di landasan kapal terbang di Lapanagan Terbang Antarabangsa Narita. - Kredit Foto : Facebook ANA
Kemunculan kura-kura pada pagi tersebut dipercayai kemungkinan ada kaitan dengan pesawat itu yang akan memulakan perjalanannya yang pertama ke Naha, ibu kota Okinawa.
Kura-kura itu dilaporkan mendiami di sebuah kolam milik lapangan terbang tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari landasan terbabit.
Sementara itu, jurucakap ANA berkata, penyu dilihat sebagai haiwan yang membawa tuah di Hawaii dan ANA percaya simbol itu juga membawa tuah kepada syarikat penerbangan mereka.
Sehubunga itu, ANA berharap simbol kura-kura itu akan membawa lagi tuah yang sama kepada syarikat itu apatah lagi ia akan memulakan penerbangan destinasi yang baru (Tokyo ke Naha) bagi pesawat terbabit. - KitaReporters
Kredit Foto : Facebook ANA