Penguat Kuasa KPDHEP Terengganu membuat pemeriksaan terhadap peniaga di bazar Ramadan.Gambar Ihsan KPDHEP


KEGAGALAN peniaga di Negeri Terengganu mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut pelaksanaan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri menyebabkan ramai peniaga dikenakan kompaun.

Ketika pelaksanaan skim tersebut dilaksanakan bermula 21 April 2021 sehingga kini (27 April 2021), sudah 30 peniaga dikenakan kompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan yang dilakukan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kompaun dikenakan membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga, menggunakan alat timbang sukat tidak ditentu sahkan (10 kes), gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (enam kes) dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan (satu kes).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan KDPNHEP

Saharuddin Mohd Kia


Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, kesemua tindakan kes tersebut membabitkan nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan sebanyak RM3,150 dalam tempoh enam hari pelaksanaan. 

Katanya, sebelum tindakan kompaun ini diambil, teguran dan amaran telah diberikan terlebih dahulu kepada para peniaga, namun masih ada peniaga yang ingkar dalam mematuhi penetapan harga maksimum SHMMP.

 Beliau berkata, KPDNHEP tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan demi menjaga hak pengguna serta berlaku adil kepada peniaga yang berjaya mematuhi pelaksanaan skim berkenaan.

Sejak pelaksanaan SHMMP bermula 21 April 2021 lalu, sebanyak 453 premis diperiksa sebelum 30 peniaga dikenakan kompaun kerana pelbagai kesalahan, katanya dalam satu kenyataan media pada 27 April 2021.


Kenyataan Media KPDNHEP  Terengganu


Saharuddin berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 peringkat Negeri Terengganu

“Para peniaga diingatkan agar mematuhi peraturan-peraturan yang berkuat kuasa dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan. 

"Di samping itu, diingatkan agar pihak penternak, pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi penetapan skim (SHMMP) dan tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini,” katanya.

Manakala pengguna pula, mestilah mengetahui tanggungjawab dan hak-hak mereka serta disarankan agar sentiasa merujuk kepada aplikasi Price Catcher yang telah disediakan oleh pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan bagi mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan

Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store secara percuma. - KitaReporters


Penguat Kuasa KPNDHEP Terengganu memeriksa tanda harga

4
3
1
2
0

Copy Link: