SIARAN radio di negara ini masih relevan dan diterima baik oleh pendengar meskipun orang ramai diledakkan dengan informasi menerusi  media sosial.

Apatah lagi pada bulan puasa yang mulia ini, sambil berehat mendengar radio bukan sahaja sebagai halwa telinga tetapi juga sebagai makanan rohani dan jiwa.

Antara yang semakin mendapat tempat pada hati pendengar,  siaran radio Zayan yang telah ditubuhkan sejak 2017.

Siaran radio berkonsep Islamik yang menjadi tunjang utamanya dalam arena penyiaran negara ini membawa pendekatan  dengan mempromosikan cara hidup masyarakat Islam yang terkini dan kotemporari.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan radio

Pengurus Kandungan radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor  


Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, sejak siaran Zayan lima tahun lalu, identiti radio ini  semakin dikenali ramai yang tujuan utamanya mahu mendekati golongan muda dengan menampilkan konsep persembahan yang lebih segar dan pengisian bersifat kontemporari.

Walaupun tunjangnya Islamik namun kandungannya lebih kasual, bersahaja dan santai serta bersesuaian dengan gaya hidup Muslim di negara ini.  Informasi  Islamik yang disampaikan lebih ringan agar mudah menyerap ke jiwa pendengar.

“Alhamdulillah, selepas hampir lima tahun bersiaran, sambutan pendengar terhadap radio ini menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya.


Antara penyampai radio Zayan yang ke udara menerusi slot-slot yang disusun atur sebagai halwa telinga dan makanan rohani dan jiwa. 


Katanya sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu, pasukannya turut merasai kesannya. Apabila pengumuman oleh pihak kerajaan  negara sedang melalui peralihan ke fasa endemik dan beberapa peraturan sudah dilonggarkan ia melegakan, namun rakyat masih perlu berhati-hati.

“Zayan akan  terus mengambil langkah berwaspada dan jika keadaan memerlukan, penyampai akan bersiaran dari rumah dan cabaran yang menanti adalah untuk memantapkan persembahan dengan cara yang lebih kreatif.

“Kalau bersiaran dari kediaman, pengisian mestilah lebih terkini, padat dengan perkembangan mengenai isu semasa yang dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik,” ujarnya.

Jelas beliau lagi,  kandungan mestilah yang boleh dijadikan inspirasi kepada pendengar sasaran berusia dari 18 hingga 35 tahun.

“Kapsul nasihat disertakan hadis, sirah dan doa dengan selingan lagu nasyid yang bukan saja menghiburkan tetapi memberi manfaat kepada pendengar terutama pada situasi hari ini di mana masyarakat yang terkesan sangat memerlukan kata-kata semangat, nasihat dan panduan.

“Misalnya pada bulan Ramadan yang mulia ini, kami mengadakan beberapa program khusus seperti Satu Hari Satu Surah Bersama Ustaz Mohd Gunawan Che Abd Aziz dan Mahir Bahasa Arab melalui al-Quran bersama Ustaz Taufik Yusof. Kedua-dua program khas itu disisipkan dalam segmen Zayan Salam Bros,” katanya.



Menerusi slot Zayan Salam Sis pula diselitkan Tadabbur Al-Quran. Pada sebelah malam dari jam 10 malam hingga 1 pagi adalah topik perbincangan berkenaan Ramadan dan Salam Sahur Zayan.

“Sementara itu untuk pengisian platform digital Zayan, diadakan pencarian menerusi Instagram iaitu mencari Zayan Next Top Bilal di mana lima bilal terbaik akan merakamkan azan yang bakal ke udara di saluran radio tersebut.

“Pada 22 April (2022) hadapan diadakan majlis berbuka puasa di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) yang disertai para penyampai , pendakwah yang juga penyampai hujung minggu, Ustaz Ashraf Suarin dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Aktiviti lain ialah sumbangan Al-Quran kepada pengunjung ke bazar Ramadan Putrajaya yang akan diberikan secara rambang dengan tajaan Masjid Putrajaya. Juga diadakan Rakaman Tawarikh Talk bersama ustaz dan ustazah jemputan," ujarnya.

Baru-baru ini empat penyampainya, Asmawi Ani, Anas Tahir, Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Khairi Hazwan Muhammad Asri merakamkan takbir Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Rakaman itu akan disiarkan pada 1 Syawal di plaftom digital Zayan.



Kandungan  Radio Zayan Tahun 2022:

- Zayan Salam Bros (6 hingga 10 pagi) kendalian Mawi (Asmawi Ani) dan Anas Tahir.

- Zayan Salam Sis (10 pagi hingga 3 petang) oleh Lin Ariffin dan Fatin Nabila.

- Zayan Valet (3 petang hingga 7 malam) bersama Tajdid Hadhari juga dikenali dengan panggilan Ustaz Bola.

Zayan Valet juga menyelitkan slot Zayan Fit yang menampilkan kehadiran tetamu undangan. Terdapat sesi bacaan ayat al-Quran berserta terjemahan dan menerusi slot Valet Buzz, Hadhari membincangkan isu tular.

Untuk pengetahuan ramai, Hadhari memiliki lesen bimbingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah jurulatih Belia Nasional FAM, Hassan Sazali Waras.

- Zayan Halal Kafe  (8 malam hingga 12.30 malam) kendalian Hazwan Syah.

- Zayan Hujung Minggu bersama Pendakwah Ustaz Ashraf Suarin, Zayan Fikir, Indah di hati, Aura Zayan dan Zayan Ikhlas.

Selain ke udara di corong radio, pendengar boleh mendengar Zayan menerusi Saluran Astro 876 dan terbaru aplikasi Syok yang tersedia dalam Google Play dan App Store. - KitaReporters


7
12
0
8
0

Copy Link: