MELETAKKAN kesihatan dan keselamatan anggota serta orang awam sebagai keutamaan, Balai Polis Kampung Tawas di Ipoh, Perak mengambil langkah proaktif apabila menyediakan gerbang semburan nyahkuman di balai berkenaan. Langkah berjaga-jaga itu adalah antara usaha warga Balai Polis Kampung Tawas untuk turut sama membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penyebaran wabak COVID-19. : KitaReporters

Asisten Superintenden Kamarulzaman Harun (dua dari kiri) bergambar bersama anggota di hadapan gerbang nyahkuman yang disediakan di Balai Polis Kampung Tawas di Ipoh, Perak.
Untuk rekod, daerah Kinta telah diletakkan di bawah Zon Merah apabila ia mencatatkan jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes.
Setakat Ahad, 12 April 2020, jumlah kes positif Covid-19 di daerah itu adalah seramai 93 kes.

Laluan yang menyembur cecair nyahkuman ini merupakan inisiatif warga Balai Polis Kampung Tawas di Ipoh, Perak.
Ketua Polis Balai Kampung Tawas, Asisten Superintenden Kamarulzaman Harun
berkata, inisiatif itu diambil pihaknya setelah melihat perlunya usaha untuk melindungi warga Balai Polis Kampung Tawas daripada dijangkiti wabak berkenaan.
Ini kerana katanya, dengan cara kerja yang perlu berurusan dengan orang ramai, anggota yang bertugas berhadapan risiko tinggi sekiranya aspek kebersihan diambil mudah.
"Sebagai pasukan keselamatan, kita berhadapan dengan masyarakat tidak kira sama ada di luar semasa sekatan jalan raya dijalankan atau pengawasan di tempat awam lain termasuk pasar.
"Malah, di balai polis sendiri kita berurusan dengan orang awam yang kita tidak tahu status kesihatan mereka sama ada sihat ataupun tidak sedar mempunyai simptom dijangkiti COVID-19.
"Oleh itu, dengan adanya gerbang nyahkuman ini, setiap orang awam yang mahu berurusan di sini (balai polis) perlu melalui gerbang ini dan disembur cecair nyahkuman. 

"Mana-mana anggota yang mahu memulakan tugas atau kembali bertugas juga perlu melakukan prosedur sama," katanya.

Seorang anggota polis mencuba gerbang nyahkuman yang disediakan di Balai Polis Kampung Tawas di Ipoh, Perak.
Menurut Kamarulzaman, pembinaan laluan semburan nyahkuman itu dilakukan secara gotong-royong bersama anggota di balai polis tersebut dengan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan.
Katanya, peralatan yang digunakan pula adalah mudah diperolehi seperti batang paip, kanvas, papan lapis dan mesin pam.
"Apa yang dilakukan ini adalah inisiatif warga balai di mana kita cuba sebaik mungkin menghindarkan anggota dan orang awam daripada dijangkiti wabak berbahaya ini. 

"Apa yang penting adalah usaha untuk mengekang penularannya.

"Semoga usaha ini bukan sahaja dapat memberi keselesaan dan rasa selamat kepada orang ramai yang datang berurusan di balai polis ini malah kepada anggota sendiri yang merupakan petugas barisan hadapan negara," katanya. - KitaReporters

0
1
0
0
0

Copy Link: