HULURKAN tangan, ringankan beban! Itulah antara harapan proogram realiti amal terbitan TV3, Bersamamu sejak disiarkan pada tahun 2005 di mana sepanjang 15 tahun siarannya telah membantu ratusan keluarga susah. Kini 'Bersamamu' berkembang dan melangkah setapak lagi ke era digital. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan TV3:

https://kitareporters.com/search?search=TV3


Penerbitan 'Bersamamu' edisi digital bakal memulakan siarannya menerusi platform YouTube TV3 Malaysia melalui 'Kapsul Bersamamu' pada 11 Oktober 2020 ini, pukul 6.30 petang selama 7 minit seiring dengan siaran di TV3 selama 30 minit.

Merupakan kali pertama penerbitan program realiti amal menggunakan dua platform penyiaran, sekali gus iaitu televisyen dan digital, TV3 berharap ia mampu memberi capaian kepada lebih ramai penonton.

Selain itu, dengan penerbitan 'Bersamamu' edisi digital, lebih banyak keluarga dan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan dapat dipaparkan, waima kini lebih ramai golongan muda yang cenderung menggunakan media sosial menonton program kesukaan mereka.

Untuk episod pertama, ‘Bersamamu’ digital bakal menyiarkan kisah seorang balu, Hasnah Mohammed, yang baru kematian suami 3 bulan lalu, bersama 6 orang anaknya. 

Pekerja sebuah kilang di Rawang, Selangor ini, memikul tanggungjawab membesarkan anak- anak yang masih kecil dan bersekolah berumur antara 2 hingga 16 tahun. 

Lebih sedih lagi, salah seorang anak Hasnah perlu dihantar ke keluarga ibunya di Kelantan untuk dijaga kerana perbezaan waktu sekolah yang tidak sama dengan adik-beradik yang lain.

Anak sulungnya menjadi harapan Hasnah untuk menjaga adik-adik pada kala dia keluar bekerja. 

Hapanan TV3, semoga 'Kapsul Bersamamu' menerusi platform digital ini dapat memberi cahaya kepada keluarga Hasnah dan juga keluarga 'Bersamamu' yang lain di mana setiap minggu dua buah keluarga berbeza akan dipaparkan menerusi platform yang berbeza iaitu TV3 pada setiap hari Ahad, pukul 6.30 petang selama 30 minit, sekali gus dalam saluran YouTube TV3Malaysia  pada 6.30 petang selama 7 minit.

Gambar hiasan.... Program 'Bersamamu' di TV3 terdahulu.

Kombinasi siaran menerusi televisyen dan platform digital akan membolehkan capaian kepada lebih ramai penonton, dan dengan itu memberi peluang kepada masyarakat Malaysia yang prihatin tampil memberi sumbangan dalam bentuk kewangan mahu pun cara lain.

Sejak negara dilanda pandemik COVID-19, pembabitan masyarakat yang prihatin menghulurkan bantuan nampak gayanya semakin meningkat dalam membantu mereka yang susah, 

Pendek kata, langkah meneruskan projek tanggungjawab sosial korporat, TV3 ini terbukti berhasil memandangkan sumbangan orang ramai serta pihak swasta kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima bertambah.

Dan sekiranya anda tergolong dalam masyarakat yang prihatin malah sentiasa mahu meringankan beban golongan yang memerlukan, bolehlah saksikan program ‘Bersamamu’  sama ada di TV3 atau platform digital ya.

Sekali lagi, bersama-sama kita hulurkan tangan, ringankan beban kepada mereka yang memerlukan. Jom kita beramal bersama dan kutip pahala sepanjang tahun. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: