Terbaiklah CIMB Foundation! Beri mesin pengimejan mata RM1.3j kepada PPUM! Atasi kekangan peralatan!
Published byCIMB Foundation mengumumkan sumbangan mesin pengimejan mata, teknologi Heidelberg Spectralis HRA+OCT Shift kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sumbangan ini menyokong usaha berterusan PPUM dalam memberi penjagaan berkualiti tinggi dan unggul untuk merawat hampir 50,000 pesakit yang mengalami penyakit kritikal berkaitan mata setiap tahun.
Mesin tersebut yang bernilai RM1.3 juta, dilengkapi dengan teknologi canggih yang dapat memudahkan diagnosis dan rawatan, di samping berfungsi sebagai alat bantuan tambahan untuk menambah baik keupayaan penyelidikan dalam pelbagai bidang oftalmologi.
Industri perubatan kini menghadapi kekangan peralatan oftalmologi khusus yang mempunyai keupayaan untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan secara menyeluruh untuk memberi diagnosis dan merawat pesakit yang mengalami masalah mata, termasuk glaukoma dan pelbagai penyakit retina lain seperti penyakit mata berkaitan dengan diabetes dan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia.
Sumbangan ini merupakan salah satu usaha untuk membantu mengatasi peningkatan kes penjagaan kesihatan berkaitan mata dalam negara yang mempunyai bekalan fasiliti terhad, serta membantu pembekal perubatan menawarkan penjagaan berkaitan mata yang optimum dan tepat terutamanya bagi hospital terkemuka seperti PPUM.
(Dari kiri) Rositah Mariam Sulaiman, Shahriman Mohd Shariff, Profesor Dr. Nazirah Hasnan dan Professor Dr. Norlina Mohd Ramli, Ketua Jabatan, Oftalmologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Kini, status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai populasi matang semakin meningkat dengan penduduk berumur 65 tahun ke atas dijangka akan membentuk sebanyak 14.5% daripada keseluruhan jumlah penduduk menjelang tahun 2040.
Justeru, mesin ini akan dapat meningkatkan daya upaya PPUM untuk membantu kumpulan sasaran tersebut dengan memberikan penjagaan yang lebih holistik untuk merawat penyakit berkaitan mata.
PPUM akan dapat menyampaikan pengajaran berkualiti tinggi dalam teknologi pengimejan kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang oftalmologi melalui penggunaan teknologi HRA+OCT Shift.
Sebuah majlis telah dianjurkan pada 19 Jun 2023 yang menyaksikan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Foundation menyerahkan sumbangan tersebut kepada Profesor Dr. Nazirah Hasnan, Pengarah, PPUM.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Rositah Mariam Sulaiman, Ketua Tanggungjawab Korporat, CIMB Group bersama perunding perunding, pakar-pakar serta kakitangan Jabatan Oftalmologi, PPUM.
Ahmad Shahriman berkata, “Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa memacu ke arah peningkatan daya tahan bagi kalangan masyarakat, CIMB Foundation sentiasa memperjuang inisiatif jangka panjang yang meningkatkan dan menyumbang ke arah impak positif yang lestari terhadap masyarakat.
"Oleh itu, kami berbesar hati kerana dapat memberikan sokongan padu kepada PPUM dalam membantu mengatasi kekangan yang dihadapi oleh sektor penjagaan kesihatan, di samping membantu pengamal perubatan merawat salah satu penyakit kritikal negara dengan menggunakan teknologi Heidelberg Spectralis HRA+OCT Shift.
"Didorong oleh salah satu teras kami iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti, kami berharap sumbangan ini dapat membantu pengamal perubatan memajukan kajian dan rawatan oftalmologi untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia dan memberikan mereka penjagaan terbaik khusus untuk merawat penyakit berkaitan mata."
Dr. Nazirah berkata, “Kami berbesar hati untuk menerima sumbangan daripada CIMB Foundation. Teknologi Heidelberg Spectralis HRA+OCT Shift merupakan salah satu daripada kemajuan perubatan yang telah dikecapi dalam bidang diagnostik dan penyiasatan oftalmologi.
"Kami yakin ia dapat meningkatkan kecekapan penjagaan pesakit, serta menggalakkan lebih banyak penyelidikan perubatan dan membantu dalam latihan perubatan bagi pakar oftalmologi pada masa hadapan.
"Langkah penjagaan yang baik akan dilaksanakan untuk memastikan teknologi ini dapat memberi manfaat kepada pesakit dan pakar PPUM untuk tahun-tahun akan datang.
"Dengan tulus ikhlas, kami ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CIMB Foundation kerana menyediakan teknologi ini di pusat kami. Kami berharap agar masyarakat kita akan menghargai dan mengambil maklum akan kepentingan penjagaan dan kesihatan mata.” - KitaReporters/Kenyataan Media