MACAM MANA TU? DUA KALI DIJANGKITI COVID-19!!

Published by
KitaReporters

MALANG berganda menimpa seorang wanita dari wilayah Chaiyaphum, Thailand yang baru saja sembuh dari jangkitan pandemik Covid-19, apabila didapati dijangkiti wabak itu sekali lagi, dua minggu kemudian. Menurut portal berita The Nation Thailand, wanita berusia 38 tahun itu disahkan positif Covid-19 buat kali pertama selepas pulang dari luar negara pada awal Mac. 

Kredit foto: benarnews.org


The Nation Thailand pada Khamis, 9 April 2020 melaporkan wanita berkenaan dirawat di Hospital Phyathai 2 di Bangkok dan disahkan sembuh dari wabak itu dan dibenarkan keluar dari hospital kira-kira dua minggu setelah itu.

Wanita itu kemudiannya membuat keputusan untuk pulang kampung halaman di Chaiyaphum, iaitu wilayah yang terletak di Timur Laut Thailand.
Bagaimanapun, sekitar 3 hingga 5 April 2020, dia jatuh sakit termasuk mendakwa mengalami gejala sama seperti yang pernah dialami ketika di Bangkok.
Keputusan ujian pengesanan mendapati wanita terbabit dijangkiti Covid-19 di bahagian tekaknya dan dia kini di bawah pemantauan rapi pihak hospital yang masih mencari punca jangkitan berulang.

Kesemua kontak rapat wanita itu juga turut dipanggil untuk menjalani ujian pengesanan semula.

Difahamkan, itu kes kedua jangkitan berulang Covid-19 yang dikesan berlaku di Thailand. Satu lagi kes membabitkan pesakit lelaki berusia 42 tahun yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Qatar.

Kes jangkitan berulang seumpama itu menimbulkan kebimbangan orang ramai di negara Gajah Putih itu.

Ia turut membingungkan pihak berkuasa Thailand kerana ujian saintis China ke atas haiwan sebelum ini mendapati tiada jangkitan berulang atau reinfeksi berlaku melibatkan virus Covid-19. 

Setakat tengah hari Jumaat, 10 April 2020, Thailand telah merekodkan 2,473 kes positif Covid-19, manakala angka kematian akibat pandemik tersebut tercatat sebanyak 33 orang. - KitaReporters

Kredit foto: IG https://twitter.com/BKKIVF

2
2
0
0
0

Copy Link: