SELAIN menghadapi masalah penularan wabak pandemik COVID-19 yang makin merisaukan dan isu jangkitan demam denggi kian bertambah akhir-akhir ini, sebahagian penduduk di Selangor terpaksa berhadapan satu lagi fenomena alam, kejadian air pasang besar selama tiga hari bermula pada Sabtu 17 Oktober hingga Isnin 19 Oktober 2020 di sepanjang perairan negeri itu. : KitaReporters

Info grafik mengenai pusat pemindahan sementara dan bilik gerakan yang diwujudkan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berikutan fenomena air pasang besar di Selangor.

Lagi cerita-cerita berkaitan Selangor:

https://kitareporters.com/search?search=selangor


Berikutan keadaan ini semua penduduk yang tinggal di pesisiran pantai antara Sabak Bernam hingga ke Sepang perlu mengambil perhatian serius dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang tempoh fenomena air pasang besar kali kedua tahun ini. 

Sebelum itu, kejadian yang sama berlaku selama dua hari pada 17 dan 18 September 2020 lalu hinggakan ada beberapa kawasan rendah terutama yang berhampiran pinggiran pantai dinaiki air berikutan limpahan air laut melepasi ban-ban serta benteng penampan kerana ketinggian ombak melepasi daratan.
Malahan seperti yang berlaku di daerah Kuala langat terutama di kawasan pantai pelancongan di Morib dan sekitarnya ada ban-ban pantai dan tembok penampan ombak pecah disebabkan ombak yang terlalu kuat dan ketinggiannya melebihi 5.8 meter.
Fenomena air pasang besar kali ini yang dijangka ketinggian maksimum ombaknya sekitar 5.8 meter antara jam 6.00 hingga 7.30 pagi meliputi sepanjang pesisir pantai di lima daerah iaitu Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang.
Sehingga Khamis 15 Oktober 2020, pelbagai pihak khususnya Majlis Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di lima daerah yang terlibat telah membuat persiapan awal sebagai persediaan menghadapi kemungkinan di luar jangka berlaku terutama banjir kilat ditempat-tempat rendah akibat limpahan air laut hingga ke kawasan daratan.



Ada sesuatu yang diperkatakan oleh Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (hadapan sekali) semasa meninjau kerja-kerja pembersihan dan pelebaran saliran bagi memudahkan aliran air bila berlaku banjir kilat yang berpunca daripada fenomena air pasang besar. - Kredit Foto: Saluran Media MPK.


Antara persiapan telah dibuat termasuklah membersih dan melebarkan tempat-tempat saliran bagi memudahkan aliran air jika berlaku banjir kilat, mengemas kini ban-ban di sekitar kawasan berhampiran pantai dan membaik pulih serta memastikan tembok penampan ombak benar-benar kukuh dan selamat, dan menyediakan pusat-pusat pemidahan setempat jika ada keperluan bagi mangsa terlibat.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat dan bertanggungjawab mengenai fenomena air pasang besar di sekitar kawasan MPK dan daerah Klang bagi mengambil langkah perlu berkaitan kejadian berkenaan.
Antaranya termasuklah Jawatankuasa Bencana Daerah Klang, Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kerjaraya, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan lain-lain.
Beliau juga pada Khamis 15 Oktober 2020 telah meninjau dan menyaksikan sendiri kerja-kerja berkaitan pembersihan dan melebarkan saliran di beberapa tempat di Klang bagi memudahkan aliran air bila berlakunya kejadian banjir kilat yang berpunca daripada fenomena air pasang besar selama tiga hari itu.

Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (dua daripada kiri) bersama beberapa orang ketua jabatan melihat demontrasi penggunaan dron bagi pemantauan kejadian air pasang besar kali kedua termasuk di daerah Klang, Selangor. - Kredit Foto: Saluran Media MPK.

Semasa tinjauan itu beliau juga turut menyaksikan bagaimana pemantauan menggunakan dron bagi mengesan kawasan berisiko yang mungkin terjejas semasa bencana itu berlaku selain memantau limpahan air laut disebabkan ombak terlalu tinggi.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mempersiapkan 1,000 orang anggotanya untuk membantu menghadapi fenomena kali ini termasuklah mengawasi penduduk yang dijangka terkesan dengan keadaan yang berlaku, menjaga di sekitar kawasan pantai, membantu urusan pemindahan sekiranya ada dalam kalangan penduduk yang terpaksa berpinda ke pusat-pusat pemindahan sementara disediakan.

Sehubungan dengan ini menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, anggota-anggotanya juga akan memantau keadaan cuaca semasa dan lokasi berisiko sepanjang tempoh tersebut.

Dalam persediaan menghadapi keadaan yang berlaku lebih-lebih lagi dengan ketinggian ombak melebihi daripada jangkaan, para anggota bomba yang terlibat sudahpun siap sedia dan menjalani latihan termasuk pengendalian bot.

Ketinggian di luar jangka dan pukulan ombak yang kuat mampu merosakkan benteng penahan ombak yang dibina di beberapa tempat tertentu di sepanjang pesisir pantai di Selangor. - Kredit Foto:  Unit Pengurusan Bencana Selangor.

Di samping itu, pihak berkenaan turut sama menjalankan tugas semasa tempoh tersebut termasuklah RELA, badan-badan beruniform lainnya serta badan-badan sukarela (NGO) yang ada di daerah terlibat bagi memastikan semua usaha dijalankan bagi membantu penduduk terlibat dapat berjalan dengan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari dalam satu kenyataan dalam media sosialnya menasihatkan  penduduk yang tinggal di sepanjang pesisir pantai di Selangor perlu waspada dan bersiap sedia, di samping mengikuti setiap arahan pihak berkuasa.
Katanya, langkah ini bagi mengelakkan daripada kemungkinan yang tidak dijangka berlaku. Juga setiap orang perlu berjaga-jaga sepanjang tempoh kejadian berkenaan.
Menurutnya, bagi mereka yang tinggal di kawasan mudah berlaku banjir patuhilah arahan berpindah bagi keselamatan diri dan keluarga.
Sepanjang tempoh fenomena kali ini juga kerajaan Selangor menasihatkan semua aktiviti pantai dan menangkap ikan di sekitar kawasan pesisir pantai perlu dihentikan sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Lima bilik gerakan yang ditempatkan pada setiap Pejabat Tanah dan Daerah di daerah-daerah terlibat yang diwujudkan semasa fenomena air pasang besar kali pertama pada September lalu kini diaktifkan kembali. Manakala 20 pusat pemindahan sementara juga akan beroperasi merangkumi di daerah Kuala Selangor (10 buah), Klang (4 buah) Sabak Bernam (4 buah), Kuala Langat (2 buah) dan Sepang (1 buah). - KiteReporters

Sebahagian daripada sejumlah 1,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut bertugas sepanjang kejadian air pasang besar kali kedua. Kredit Foto : Media Selangor.

Ban-ban pantai diperkemas dan dibaiki dalam menghadapi fenomena air pasang besar kali kedua yang melanda diperairan persisir pantai di Selangor. - Kredit Foto: SelangorKini

0
1
0
0
0

Copy Link: