75 penduduk Pulau Perhentian disahkan positif COVID-19! Pergerakan keluar masuk pulau disekat!
Published byPerkampungan Pulau Perhentian sepi selepas dikenakan sekatan keluar masuk ke tanah besar.
IMPIAN penduduk pusat pelancongan terkenal Pulau Perhentian di Besut, Terengganu untuk mengekalkan status sifar COVID-19 yang dinikmati sebelum ini lebur apabila pihak berkuasa mengesan berlakunya penularan wabak berkenaan di pulau peranginan itu.
Ini kerana 75 penduduk yang kebanyakannya nelayan itu disahkan positif COVID-19 dalam kalangan komuniti pulau terbabit.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong ketika mengesahkan perkara itu berkata, penduduk disahkan positif itu kini dirawat di Hospital Setiu (HS) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan, Besut serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan, Besut.
Lagi cerita-cerita menarik berkenaan Pulau Perhentian
Dr Kasemani Embong
Dr Kasemani berkata, sekatan pergerakan dikuatkuasakan sejak Jumaat, 25 Ogos 2021 lalu susulan 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata, punca penularan COVID-19 bukan disebabkan pelancong, sebaliknya pergerakan penduduk yang tinggal di pulau peranginan itu yang berulang-alik melaksanakan urusan di tanah besar.
Premis perniagaan di Pulau Perhentian lengang selepas COVID-19 merebak di pulau itu
Katanya, semua penduduk yang menjalani proses rawatan itu dalam
keadaan stabil.
"Kami sudah melakukan proses ujian calitan kepada 1,125 penduduk dan
daripada jumlah itu, 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif,"
katanya kepada media, di Kuala Terengganu pada Rabu, 25 Ogos 2021.
Dr Kasemani berkata, proses ujian saringan membabitkan 70 peratus penduduk dilaksanakan sejak 20 Ogos 2021 dan selesai sepenuhnya pada 25 Ogos 2021.
"Bagi mengekang penularan lebih besar, sekatan pergerakan keluar masuk ke pulau berkenaan dengan tanah besar dikuatkuasakan sejak Jumaat 20 Ogos 2021.
"Penduduk berstatus kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Tengku Zaihan (kiri) meninjau aktiviti suntikan vaksin kepada penduduk Pulau Perhentian
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, penduduk pulau tersebut sudah mendapat vaksin dos pertama pada 6 Ogos 2021.
Katanya, penularan COVID-19 dalam kalangan penduduk pulau itu
amat mengejutkan kerana sebelum ini kes COVID-19 tidak pernah berlaku sejak
penularan COVID-19 melanda negara pada Februari 2020.
“Kerajaan berhasrat untuk membuka sektor pelancongan di pulau itu pada awal September 2021 ini apabila semua penduduk dan pemain industri pelancongan mendapatkan suntikan penuh dua dos vaksin,” katanya. - KitaReporters
Gambar fail... Penduduk Pulau Perhentian mendaftar untuk mendapatkan pemberian vaksin dos pertama di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian.